JOHOR BAHRU – MIC tidak berminat untuk bertanding di beberapa kerusi tradisi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana parti itu berpendapat ia tidak akan menjanjikan kemenangan.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, pihaknya tidak mahu menanggung risiko untuk meletakkan calon jika mengetahui sukar untuk memenangi kawasan yang ditandinginya itu.
Katanya, kaedah lama yang dipraktikkan sebelum ini sudah tidak relevan dengan trend pengundian semasa.
“Kita sudah mengenal pasti lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi tetapi masih belum diputuskan lagi. Namun kita berharap akan diberikan lima kerusi dan ini akan dibawa kepada pucuk pimpinan.
“Seperti kebiasaan, kita akan minta lima kerusi DUN dalam pilihan raya Johor, tetapi untuk dapat atau tidak itu perlu ada alasan yang munasabah.
“Kalau tahu nak kalah minta (kerusi) pun tidak guna, jadi siapa yang dirasakan boleh menang kita beri peluang, kalau terdesak itu bermakna kita kena bagi laluan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya, Vigneswaran berharap BN dapat menangkis serangan yang dibuat tentera siber pembangkang bahawa tindakan membubarkan DUN Johor merupakan satu kesilapan. -MalaysiaGazette