Home Nasional Suhaizan maklum pembubaran DUN Johor kepada SPR

Suhaizan maklum pembubaran DUN Johor kepada SPR

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat (kiri) menyerahkan watikah dan pemasyhuran pembubaran DUN Johor bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada Pengarah Pilihan Raya Johor, Nor Nekman Jaimon di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 JANUARI 2022.

ISKANDAR PUTERI – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat memaklumkan pembubaran DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri (SPR) Johor pada pukul 4 petang tadi.

Pemakluman tersebut berlangsung di pejabatnya di Bangunan Sultan Ismail, di sini, dan surat pemakluman diterima oleh Pengarah SPR Johor, Nor Nekmat Jaimon.

Menurut Suhaizan, beliau menerima surat pemasyhuran DUN Johor daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani pukul 10 pagi tadi.

“Pemasyhuran ini telah diwartakan dan saya telah menyerahkan atau memaklumkan kepada SPR tentang pemansuhan DUN Johor pada petang ini.

“Selepas ini SPR akan melaksanakan proses seterusnya iaitu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan surat tersebut.

Suhaizan yang merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Johor berkata, beliau akan memegang jawatan itu sehingga pelantikan speaker baharu dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Suhaizan dilantik sebagai Speaker DUN Johor bagi penggal ke-14 selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN dan beliau kekal jawatan itu apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada Julai 2020.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuatkuasa bagi memberi laluan PRN diadakan.

Ia susulan Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. – MalaysiaGazette