Home Nasional 15 sekolah di Kedah ditutup, 525 pelajar positif Covid-19

15 sekolah di Kedah ditutup, 525 pelajar positif Covid-19

ALOR SETAR – Seramai 525 pelajar dan 25 guru disahkan positif Covid-19 membabitkan kluster pendidikan di negeri ini setakat semalam.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad berkata, ia membabitkan lapan kluster pendidikan, sekali gus menyebabkan 15 buah sekolah di negeri itu ditutup bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, pelajar positif Covid-19 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan di Jitra dan berdekatan mengikut tahap masing-masing.

“Sekolah yang terlibat adalah 13 buah sekolah berasrama harian dan dua sekolah menengah harian manakala guru yang dikesan positif Covid-19 hanya melibatkan dua buah sekolah.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada rekod menunjukkan kes positif kalangan murid sekolah rendah.

“Keadaan keseluruhan adalah terkawal, namun kita tidak menolak kemungkinan penutupan sekolah akan berlaku bergantung kepada situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran IMPAK SPM 2021 disempurnakan Tengku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad.

Tambah Najmi, kadar penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar masih terkawal dan ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Kebanyakan penularan membabitkan sekolah berasrama yang lebih terbuka namun kita telah minta sekolah berkenaan pertingkatkan kawalan dan prosedur operasi standard (SOP),” kata beliau.

Sementara itu, Rozaini berkata, seramai 162 daripada 30,400 guru di negeri ini masih belum mahu mendapatkan vaksin Covid-19 atas pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan serta belum bersedia.

“Guru terbabit masih ke sekolah, namun diasingkan. Mereka tidak mengajar secara bersemuka, sebaliknya diberikan tugasan lain seperti menyediakan modul pembelajaran dan mengajar dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pada masa sama, kita terus memujuk dan menasihatkan guru berkenaan agar segera mengambil vaksin memandangkan ia antara SOP pendidikan,” katanya. – MalaysiaGazette