Home Nasional Akur hak mutlak hakim, saya akan bela diri – Zahid

Akur hak mutlak hakim, saya akan bela diri – Zahid

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi keluar dari mahkamah selepas selesai mendengar keputusan akhir pendakwaan bagi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja akur menerima keputusan mahkamah hari ini sebaliknya berikrar akan terus membela atas dakwaan rasuah melibatkan dana Yayasan Akal Budi.

Bercakap kepada media sejurus selepas selesai prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, beliau berkata, keputusan itu adalah hak mutlak hakim.

“Saya akur dengan keputusan yang dibacakan oleh hakim, itu hak mutlak hakim dan keakuran ini tidak terhenti pada hari ini sebaliknya pembelaan ini akan dilakukan.

“Pasukan pembelaan saya akan jalankan tugas-tugas mengikut prosedur yang telah ditentukan oleh mahkamah.

“Tarikh-tarikh telah ditetapkan dan tentunya keakuran ini berdasarkan sistem perundangan sedia ada,” katanya ringkas di luar perkarangan mahkamah di sini hari ini.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Collin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah Tinggi arah Zahid bela diri