KUALA LUMPUR – Kontroversi yang menimpa Tan Sri Azam Baki tiada kena mengena dengan isu pembelian saham, sebaliknya ia hanya alasan untuk memburukkan kredibiliti Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Pengerusi Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz mendakwa, isu sebenar adalah bukti-bukti yang sebelum ini telah disembunyikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam kes 1MDB telah didedahkan oleh Azam.
Sebagai contoh bukti yang disembunyikan itu, jelas beliau, penerimaan wang oleh suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Nor Mohamad Yaacob serta penglibatan Zeti sendiri.
“Ada beberapa bukti lagi yang sekarang ini ada di luar negara dan jika bukti-bukti ini juga dibawa balik oleh Azam maka kesemua kes ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan gugur.
“Lebih kurang RM800 juta lebih wang 1MDB telah diberikan ke Yayasan Rakyat Pulau Pinang DAP oleh Low Taek Jho atau Jho Low tapi yang hairannya tiada seorang individu pun tidak dituduh mahu pun akaun mereka dibekukan,” dakwanya di luar Pintu 3 Istana Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata pada sidang media selepas PSUM menghantar dua referendum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Referendum itu berkaitan ‘Tanda Tidak Puas Hati Rakyat Malaysia Terhadap Penganiayaan Kepada Najib’ dan ‘Kekalkan Azam Sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia’.
Syed Muhammad Imran turut mendakwa terdapat individu-individu yang menerima wang 1MDB antara ratusan ribu ringgit hingga puluhan juta ringgit namun mereka juga tidak dituduh atau dibekukan akaun-akaun mereka.
Bagaimana kata beliau, berbanding dengan mereka yang terlibat dengan Najib, akaun-akaun mereka ini semua dibekukan dan mereka disiasat.
“Ini kerana semasa PH berkuasa kes Yayasan Rakyat Pulau Pinang DAP menerima RM800 juta telah diserahkan kepada pihak polis, manakala kes lain yang terlibat dengan Najib telah diserahkan kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Beebi Koya ketika itu.
“SPRM telah menjalankan tugas mereka dengan telus dan menyiasat semua orang yang telah terima wang 1MDB dan membekukan akaun-akaun mereka,” katanya.
Syed Muhammad Imran memberitahu, apabila isu Yayasan Rakyat Pulau Pinang DAP itu dibangkitkan baru-baru ini terdapat tekanan supaya SPRM mengambil alih kes tersebut.
Ini kerana jika SPRM mengambil alih kes ini maka lagi banyak hal-hal pelik yang disembunyikan akan didedahkan.
“Ini kerana kebanyakan tokoh-tokoh di Yayasan DAP ini dan penerima-penerima dana 1MDB ini adalah mereka mereka yang rapat dengan DAP.
“Ada individu dari Yayasan DAP ini yang terima puluhan juta ringgit tapi tidak dituduh langsung mahu pun akaun dibeku,” dakwanya lagi.
Syed Muhammad Imran juga memberitahu, Azam telah menyatakan kesudian SPRM untuk mengambil alih kes itu daripada pihak polis.
Jelas beliau, sekiranya SPRM mengambil alih kes itu, ia akan merungkai siapa yang memberi arahan supaya Yayasan Rakyat Pulau Pinang DAP itu dikecualikan daripada disiasat.
“Kita hendak tahu sama ada arahan ini dari Lim Guan Eng atau individu lain.
“Justeru itu mereka melihat Azam sebagai satu ancaman dan perlu disingkirkan.
“Kemudian dalam kes rasuah Guan Eng, Azam adalah saksi dan komponen penting dalam kes itu.
“Jika kredibiliti Azam rosak, maka kes Guan Eng ini akan memihak kepadanya,” katanya. – MalaysiaGazette
Ini pun perlu disiasat rapi nih samaada rekaan fitnah atau kebenaran. Kalau fitnah perlu ditangkap dan dibicarakan
Kematian salah seorang saksi kes rasuah Lim Guan Eng menjadi misteri pun perlu diungkaikan.
Macam Filem Hongkong dimana mereka yang lakukan jenayah di poksi kpd orang lain sehingga yang mahu tegakan keadilan dan ketelusan perlu bertindak sendiri bagi memastikan penjenayah2 ini dihapuskan terutama mereka2 yg dikelilingi kongsi gelap2.