Home Nasional Inilah suasana sekitar Taman Sri Muda!

Inilah suasana sekitar Taman Sri Muda!

Longgokkan sampah merata-rata di Taman Sri Muda Shah Alam.

KUALA LUMPUR – “Beginilah keadaan di Taman Sri Muda pada pagi ini. Sampah-sarap bersepah di sana sini,” kata Datuk Dr Jacob George, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam.

Gambar-gambar yang dikongsi kepada MalaysiaGazette menunjukkan sampah-sarap dan harta benda penduduk yang rosak dibuang merata-rata tempat di sekitar taman perumahan itu yang dilanda banjir besar pada pertengahan bulan lalu.

George berkata, keadaan kotor yang menjadi pemandangan di sekitar Taman Sri Muda ini amat menyedihkan kerana ia tidak sepatutnya berlaku di kawasan penempatan penduduk.

Malah, suasana yang tidak sihat itu menimbulkan persoalan mengapa kerja-kerja pembersihan masih belum selesai memandangkan sudah lebih sebulan kejadian banjir berlaku.

Longgokan sampah di merata-rata tempat ini di kawasan awam, di hadapan rumah penduduk dan di tepi-tepi jalan bukan sahaja menyesakkan mata yang memandang tetapi juga menjadi tumpuan tikus dan anjing liar.

Bahkan, sampah-sarap ini turut mengundang bau busuk.

Paling dikhuatiri, keadaan kotor itu akan menyebabkan tercetusnya penyakit bawaan sampah.

George yang kesal dengan keadaan itu mempersoalkan, mana jaminan pihak berkuasa yang berjanji untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mangsa-mangsa banjir ketika lawatan Yang di-Pertuan Agong ke kawasan itu pada akhir tahun lalu.

“Saya berada di sana ketika lawatan baginda. Baginda telah meminta semua agensi kerajaan memastikan kebajikan dan kesejahteraan mangsa-mangsa banjir ini dijaga.

“Kalau masalah sampah pun tidak mampu ditangani, kepada siapa lagi penduduk boleh berharap?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan sepatutnya bertanggungjawab membersihkan longgokan sampah-sarap yang dibuang oleh mangsa-mangsa banjir memandangkan mereka dalam keadaan sukar untuk mengeluarkan belanja bagi menyewa tong besar bagi tujuan pelupusan sampah-sarap.

Jelasnya, untuk menyewa tong besar sahaja sudah mencecah RM100 lebih, justeru pihak berkuasa tempatan jangan terlalu berkira dengan penduduk terlibat.

“Kekangan kos itu dipercayai mendorong penduduk membuang harta-benda yang rosak di luar kediaman atau di tepi-tepi jalan. Tapi takkan hendak dibiarkan sehingga menyakitkan mata,” ujarnya.

Oleh sebab itu, pihak berkuasa tempatan sepatutnya melunaskan tanggungjawab mereka membersihkan kawasan berkenaan, sekali gus dapat menghindarkan berlaku wabak penyakit selepas banjir, katanya. – MalaysiaGazette