MELAKA – Lebih 400 penduduk di Kampung Kelolong, Tanjung Kling, di sini hidup dalam ketakutan susulan kejadian ‘serangan’ babi hutan yang melanda kampung berkenaan sejak kira-kira sebulan lalu.
Insiden serangan haiwan liar itu juga tular sejak malam tadi apabila tujuh hingga lapan ekor babi hutan berkeliaran di dalam kampung, malah ada yang berani bertindak memasuki rumah penduduk.
Menceritakan detik cemas itu yang hampir mencederakan dirinya, penduduk Comel Khudrat, 62, berkata kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang semalam apabila dia dikejutkan dengan kehadiran anak babi di halaman rumahnya.
“Ketika sedang berehat di beranda rumah, saya terkejut melihat kelibat anak babi yang sedang memandang tepat ke arah pintu rumah seperti mahu masuk ke dalam rumah.
“Secara spontan, saya terus berlari masuk dan dalam keadaan kelam kabut itu saya tersandung di pintu dan hampir terjatuh sebelum haiwan liar itu lari ke kawasan hutan sebelah rumah,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rahimah Kassim, 76, berkata kejadian serangan babi hutan di kampung terbabit mula menjadi mimpi ngeri penduduk sejak sebulan lalu apabila semakin banyak haiwan berkenaan berkeliaran dalam kampung.
“Keadaan ini membuatkan saya sendiri tidak berani keluar rumah sesuka hati kerana takut menjadi mangsa serangan haiwan liar itu,” katanya.
Pemilik kebun, Abu Bakar Japar, 65, berkata beberapa tanamannya seperti pokok ubi dan pisang juga rosak disondol babi hutan malam tadi menyebabkan dia putus asa untuk mengusahakan tanaman kontan terbabit.
“Bukan sahaja tanaman rosak, bahkan rutin harian penduduk kampung juga berubah menyebabkan kami tidak lagi berani duduk di luar rumah untuk berehat pada waktu petang seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling, Pengerusi JPKKK Tanjung Kling Khairulazni Baharuddin berkata, kejadian serangan babi hutan di kampung itu bermula sejak sebulan lalu dan kejadian berlaku malam tadi.
“Hari ini, saya telah minta bantuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka yang menghantar kakitangan mereka untuk menghapuskan babi ini.
“Saya juga difahamkan mereka akan memasang beberapa perangkap sekaligus memastikan keselamatan penduduk kampung agar tidak lagi terganggung dengan serangan haiwan liar ini,” katanya.- MalaysiaGazette