Home Ekonomi Kerajaan pertimbang geran khusus kepada PMKS terjejas banjir – PM

Kerajaan pertimbang geran khusus kepada PMKS terjejas banjir – PM

Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat EAC hari ini.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersetuju untuk mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban yang ditanggung oleh usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir, selain bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), kementerian dan agensi berkaitan serta dewan-dewan perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sampai ke kumpulan sasaran.

”Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan EAC hari ini.

Menurut beliau, Jabatan Perangkaan Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia serta MEDAC telah berkongsi impak akibat banjir dan mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

Mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi, katanya. – MalaysiaGazette