KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang memutuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu membela diri 47 pertuduhan rasuah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akal Budi tidak menggugat peluang UMNO untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Malah kes-kes mahkamah lain sedang dihadapi oleh segelintir pemimpin parti juga tidak akan memberi impak seandainya pihak lawan mahu terus menggunakan isu-isu itu mempengaruhi pengundi.
Itu keyakinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung peluang parti itu pada PRN Johor tidak lama lagi.
“Kes yang melibatkan pendakwaan di mahkamah sudah pun ‘dicairkan’ (diluted) dua tiga tahun yang lalu. Sejauh mana orang mahu menggunakan kes mahkamah sebagai modal pilihan raya. Kerana pendakwaan sedang dilakukan atau pun telah diputuskan.
“Ini kes sudah dua tiga tahun. Saya tidak yakin ini jadi faktor utama (kekalahan UMNO pada pilihan raya).
“Kalau dalam dunia korporat, terminologi ini adalah fully diluted basis,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi selepas hadir memberi sokongan kepada Ahmad Zahid hari ini.
Beliau menjawab persoalan media seandainya keputusan kes melibatkan Ahmad Zahid itu akan dijadikan bahan serangan pembangkang lagi-lagi ketika musim pilihan raya ini.
Dalam pada itu, Mohamad Hassan ketika disoal tentang kerjasama antara UMNO dan Pas pada PRN yang sama berkata, ia akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam masa terdekat.
Jelasnya, ketika ini pimpinan tertinggi sememangnya telah ambil maklum tentang pendirian Barisan Nasional (BN) yang hendak bergerak solo pada PRN kali ini.
“Kerjasama Muafakat Nasional PRN Johor belum kita putuskan tapi ikut apa yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, mereka cenderung berseorangan jadi nanti akan bincang bagaimana cara hadapi PRN kali ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette