Home Dunia Lelaki sembunyi di roda pesawat ditemui hidup selepas 11 jam penerbangan

Lelaki sembunyi di roda pesawat ditemui hidup selepas 11 jam penerbangan

Penemuan seorang lelaki yang masih hidup dalam bahagian roda pesawat mengejutkan pihak berkuasa Lapangan Terbang Schiphol . foto Getty Images

AMSTERDAM – Seorang penumpang ditemui masih hidup di bahagian roda pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam.

Lelaki tersebut bersembunyi di bahagian roda pesawat lebih 11 jam sejak kapal terbang tersebut berlepas dari Johannesburg, Afrika Selatan.

Identiti lelaki itu masih belum dapat dipastikan tetapi dia dipercayai berusia antara 16 hingga 35 tahun.

”Kami mendapat tahu seseorang ditemui di roda pesawat kargo lapangan terbang, pagi ini,” kata jurucakap Lapangan Terbang Schiphol, Willemeike Koster.

Polis Tentera Diraja Belanda sedang mengendalikan kes itu, kata Koster.

Kelibat lelaki itu dikesan oleh krew darat lapangan terbang apabila melihat sesuatu yang kelihatan seperti orang dan segera memaklumkan pihak berkuasa.

Apabila tiba di tempat kejadian, Polis Belanda dan perkhidmatan kecemasan mengesahkan lelaki itu masih hidup tetapi dengan suhu badan yang rendah, kata jurucakap polis, Joanne Helmonds.

“Kami terkejut apabila menemui lelaki ini tetapi lebih terkejut apabila dia masih hidup kerana pesawat itu terbang lebih 10,000 (kilometer) dalam suhu yang sangat, sangat sejuk,” kata jurucakap Polis Tentera Diraja Belanda Joanne Helmonds kepada CNN.

Lelaki itu dilaporkan stabil di lapangan terbang dan kemudian dibawa ke hospital di Amsterdam, tambah Helmonds.

“Apabila lelaki itu dibenarkan keluar hospital, dia kemudian akan diproses di Pusat Pencari Suaka (AZC) yang mana statusnya akan ditentukan sama ada dia benar-benar mencari suaka,” kata Helmonds.

Waktu penerbangan antara Johannesburg dan Amsterdam purata kira-kira 11 jam dan jika penerbangan itu singgah di Kenya, perjalanan akan menjadi beberapa jam lebih lama, menurut Polis Tentera Diraja Belanda. – CNN (https://edition.cnn.com/2022/01/23/europe/stowaway-plane-amsterdam-south-africa/index.html)