KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada bulan Mac 2022.
Ini kerana sesi persekolahan masih berlangsung pada masa ini.
KPM mengesahkan pengosongan tapak SK Assumption, daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang perlu dilakukan kerana tapak sekolah itu dimiliki syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd. sejak tahun 2008.
Pada 3 November 2021, Sri Avenue Sdn. Bhd. telah memaklumkan ia telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.
Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin.
”Memandangkan bangunan dan tapak sekolah adalah milik Syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd., KPM telah membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru ke sekolah lain yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini.
KPM berkata, ketetapan ini diambil kerana trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.
Pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang pelajar.
Selain itu, terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 kilometer (km) hingga 5.8 km.
Sekolah-sekolah terbabit ialah SK Kuala Perai, Butterworth; SK Sungai Nyior, SK St Mark, Butterworth; SK Khir Johari dan SK St Mark, Perai.
Tambahnya, penyuraian ini dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.
Ujar KPM, pihaknya akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023. – MalaysiaGazette