Home Utama PRN Johor: Mesyuarat Khas SPR 9 Februari ini

PRN Johor: Mesyuarat Khas SPR 9 Februari ini

SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas berhubung pelaksanaan PRN Johor 9 Februari ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 pada 9 Februari depan.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu akan dikendalikan pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Antara agenda yang akan dibincangkan adalah tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“SPR secara rasminya telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari 2022 sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendak suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ikmalrudin, satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat tersebut.- MalaysiaGazette