KUANTAN – Kementerian Luar Negeri mencadangkan agar kerajaan melantik pegawai atase kebudayaan di luar negara bagi memperkasakan diplomasi kebudayaan antara negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, lantikan tersebut bukan melalui kementeriannya tetapi dilantik menerusi agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Sehubungan itu, menurutnya, pihaknya telah melakukan perbincangan pada peringkat awal dengan beberapa agensi bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Kami fikir, perbincangan awal peringkat pegawai telah dilakukan dan secara tidak formal telah bercakap dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Kami di peringkat awal telah pun dimulakan dan kita sekarang dalam dalam lawatan MOTAC peringkat negeri,” katanya pada sidang media sejurus lawatan ke Pejabat MOTAC Pahang di sini hari ini.
Lawatan itu turut dihadiri Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Jelas Saifuddin, usaha tersebut bagi mendapatkan pandangan semua pihak dan mengharapan projek diplomasi kebudayaan berjalan lancar bermula pada tahun 2023 nanti.
“Kita harap 2023 kerja diplomasi kebudayaan boleh berjalan dengan sempurna sebab ada bajet namun dimulakan sekarang kecil-kecilan.
“Boleh dimulakan dengan menganjurkan festival mini filem pendek dan dokumentari kerana di Malaysia filem pendek bagus, menang peringkat antarabangsa dan dokumentari pun bagus-bagus,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.
Menurutnya, perlaksanaan di kedutaan memerlukan peruntukan yang kecil dijangkan boleh mula pertengahan tahun ini menggunakan produk sedia ada.
Dalam pada itu, pihaknya konsisten untuk menghidupkan kembali pusat pelancongan di Cherating.
“Destinasi pelancongan Cherating merupakan terkenal dan tumpuan seluruh dunia, juteru memerlukan bantuan MOTAC bagi membantu penggiat pelancongan dalam masa terdekat yang terkesan teruk akibat pandemik.
“Sektor pelancongan seperti inap desa dan kegiatan pantai seperti surfing, makanan sepanjang pantai, pusat santuari penyu dan aktiviti kunang-kunang antara tarikan utama di Cherating,” katanya. – MalaysiaGazette