Home Dunia 2 jadi korban gempa bumi Haiti

2 jadi korban gempa bumi Haiti

Empat orang penduduk menyaksikan sebuah kediaman yang rosak akibat gempa bumi di Haiti. foto Twitter

PORT-AU-PRINCE – Haiti dilanda gempa bumi berukuran 5.3 magnitud dan beberapa siri gegaran kecil pada Isnin, mengorbankan dua orang dan menyebabkan penduduk panik apabila air naik di jalan-jalan.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) melaporkan gempa pertama melanda kawasan berhampiran bandar Les Cayes dan diikuti dengan gegaran 4.4 dan 5.1 di kawasan yang sama, hanya enam bulan selepas gegaran besar di wilayah berkenaan yang telah mengorbankan lebih 2,000 orang.

Seorang maut di Fond des Negres dan seorang lagi di Anse-a-Veau serta 35 rumah musnah, kata pihak berkuasa perlindungan awam Haiti menerusi ciapan sambil menambah terdapat jalan dan jambatan musnah.

Seorang penduduk, Jean Robert Leger, di bandar Pestel di semenanjung selatan berkata, kesan gempa bumi itu sangat minimum.

“Di Pestel, tidak banyak kerosakan namun ada rumah berhampiran laut rosak dan runtuh,” katanya melalui telefon.

Kanak-kanak yang bertempiran lari keluar dari bangunan sekolah di Les Cayes dan “orang ramai ketakutan,” walaupun tiada kerosakan berlaku, menurut seorang penduduk.

Pada Ogos tahun lalu, Haiti dilanda gempa bumi berukuran 7.2 magnitud memusnahkan puluhan ribu rumah, menyebabkan keluarga tidur di luar dalam hujan lebat dan memaksa Perdana Menteri Ariel Henry menangguhkan pilihan raya yang telah dijadualkan pada November.

Ekonomi Haiti yang bergelut dan masalah keselamatan oleh kumpulan samseng telah mencetuskan gelombang penghijrahan, dengan ramai yang mengembara dengan bot dengan harapan untuk sampai ke Amerika Syarikat.

Pengawal Pantai AS pada hari Sabtu melaporkan mereka telah memintas 88 warga Haiti di atas kapal layar yang lebih muatan dalam operasi yang turut melibatkan Pasukan Pertahanan Diraja Bahamas.

Pengawal Pantai berkata, pihaknya telah menyelamatkan 559 rakyat Haiti sejak 1 Oktober berbanding 1,527 dalam tempoh 12 bulan sebelum Oktober. – Reuters (https://www.reuters.com/world/americas/haiti-hit-by-53-magnitude-earthquake-no-major-damage-reported-2022-01-24/)