Home Nasional 69 kampung Orang Asli dapat akses internet jalur lebar tanpa wayar

69 kampung Orang Asli dapat akses internet jalur lebar tanpa wayar

Sekumpulan anak-anak Orang Asli Kg Rening kini gembira mendapat capaian jalur lebar 4G di Cameron Higlands

KUANTAN – Sebanyak 69 Kampung Orang Asli (KOA) di Cameron Highlands menikmati kemudahan perkhidmatan Internet Jalur Lebar 4G Tanpa Wayar (BWA) secara berperingkat sejak Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakharuddin Arif berkata, Projek BWA adalah salah satu projek di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang menggunakan teknologi satelit.

“Projek telah siap sepenuhnya penghujung Disember 2021 menjadikan sembilan buah kampung orang asli di KOA Rening, Sg Tiang, Sg. Chohong, Kual Boh, Sg. Kabuk, Sg. Pinang, Tiat dan Terakit antara yang menikmati kemudahan tersebut.

“Manakala baki 60 KOA akan menerima akses internet jalur lebar 4G lagi secara berperingkat sehingga penghujung Mac 2022 ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Fakharuddin, projek yang diselia oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ini juga memberi manfaat kepada hampir 200 masyarakat Orang Asli di sekitar Cameron Highlands.

“Kemajuan infrastruktur komunikasi daerah ini berjaya dilaksanakan sekali gus membawa banyak perubahan kepada masyarakat Orang Asli.

“Pihak SKMM Daerah Cameron Highland melakukan proses semakan bagi memastikan pelaksanaan projek ini menepati dan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Fakharuddin berkata, pelan Jendela akan diteruskan di negeri ini sehingga hujung tahun ini. – MalaysiaGazette