KUALA LUMPUR – Kepimpinan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) diminta agar mempertimbangkan untuk mencalonkan sekurang-kurangnya 30 peratus anak muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Saranan itu bertepatan dengan hasrat Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu golongan muda diberi peluang untuk bersama-sama mencorak negara.
Naib Ketua Pejuang Muda, Nik Fathurahman Nik Rasli berkata, parti tidak boleh lari dari hakikat anak muda akan memainkan peranan besar dan signifikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan pelaksanaan Uundi 18 dan undi automatik.
”Sudah banyak parti, malah parti-parti Melayu lama pun yang sudah mula mencalonkan lebih ramai anak muda. Ia menghantar isyarat jelas kepada anak muda bahawa parti-parti ini tidak lagi berada di takuk lama, sudah terevolusi dan bersedia menghadapi perubahan serta cabaran masa hadapan.
”Kegagalan untuk berbuat demikian akan mencerminkan bahawa parti masih mengamalkan politik kuno dan mematahkan semangat anak muda untuk berkecimpung dalam parti politik,” katanya.
Nik Fathurahman sedar terdapat pihak-pihak tertentu yang skeptikal terhadap kemampuan anak muda untuk menjadi calon apabila acap kali mereka mengkritik kemampuan kewangan, kebolehan mengumpul orang ramai atau kekerapan hadir ke program-program anjuran parti.
Bagaimanapun, beliau berpendapat ukuran menjadikan seseorang itu sebagai calon tidak boleh begitu sempit.
Anak muda merupakan golongan yang lazimnya baru mahu memulakan kehidupan mungkin tidak ada kebebasan kewangan dan masih sedang membina keluarga serta rangkaian masing-masing.
Malah masa dan tenaga mereka banyak tertumpu bagi membina perkara-perkara berkenaan.
Namun, ini tidak bermaksud mereka tidak boleh menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
”Dalam kalangan anak muda ini banyak ideologi pemikiran baharu yang dibentuk melalui peredaran zaman. Justeru, pemilihan calon hendaklah merangkum perkara-perkara yang lebih luas dan holistik.
“Jika anak muda ada begitu banyak kelemahan di mata sesetengah pihak, maka adalah menjadi tanggungjawab mereka yang mungkin lebih berumur ini untuk menunjukkan jalan dan memberi nasihat serta membantu anak muda untuk maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, zaman menggunakan anak muda hanya untuk meramaikan majlis, memacak bendera atau menjadi petugas keselamatan semata-mata sudah tamat.
Ini kerana kini adalah masa kebangkitan sebuah parti progresif-konservatif Melayu yang benar-benar melaksana perubahan melalui transformasi peringkat dasar.
”Sehubungan itu, saya menyeru kepimpinan semua peringkat Parti Pejuang Tanahair agar memperbanyakkan jumlah calon anak muda dan wanita.
“Biarlah PRN Johor ini menjadi batu ukur yang memperlihatkan kepada pengundi bahawa parti kita bersedia melangkah ke era baharu politik dengan perubahan-perubahan yang berani,” ujarnya. – MalaysiaGazette