Home Nasional PBM P. Pinang mahu rampas kerajaan pimpinan DAP

PBM P. Pinang mahu rampas kerajaan pimpinan DAP

Alan Oh pada majlis memperkenalkan pimpinan Parti Bangsa Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Kami terima ahli politik dari parti lain yang mahu memperjuangkan hak rakyat  bukan mereka yang lari kerana tidak dapat jawatan di parti lama,” jelas Pengerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) Pulau Pinang, Alan Oh.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBM berkata, tujuan utama parti itu mengembangkan sayap di negeri ini adalah untuk merampas kerajaan negeri pimpinan DAP yang dilihat tidak memperjuangkan hak semua kaum secara adil.

Alan Oh.

Bekas Ketua Cabang PKR Bagan itu berkata, hala tuju parti berkenaan adalah menjadi tulang belakang kepada golongan muda, sekali gus membawa perubahan dalam arena politik negara.

“Teras perjuangan PBM di negeri ini mendapat sokongan memberangsangkan daripada penduduk Pulau Pinang dan ia terbukti dalam tempoh sebulan kita sudah mempunyai 8,000 ahli.

“Selain itu, PBM mampu menjadi parti alternatif kepada pengundi Pulau Pinang pada PRU-15 memandangkan sebahagian besar daripada kami sudah terlibat dalam arena politik di negeri ini lebih belasan tahun.

“Bagaimanapun, PBM menumpukan lebih banyak peluang kepada golongan muda dan wanita selain memperkasakan ekonomi, pendidikan dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi memperkenalkan pimpinan PBM Pulau Pinang di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Turut hadir beberapa bekas pemimpin PKR termasuk bekas Ketua Cabang PKR Jelutong, David K.P. Ong; bekas Ketua Cabang PKR Tanjong, Chua Kheng Ee serta bekas jurucakap pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang, Andrew Teow Chin Siang dan Mohd Aswaad Jaafar.

Ketika diminta mengulas sama ada PBM sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik dalam merampas kerajaan negeri Pulau Pinang daripada DAP, Alan berkata, pihaknya mempunyai perancangan namun ia belum diputuskan.

“PBM ini parti baru, jadi mustahil untuk kita tanding semua kerusi di negeri ini. Jadi kita akan bekerjasama dengan parti lain demi memastikan PRU-15 ada perubahan di Pulau Pinang namun keputusan itu akan dibuat pemimpin pusat,” kata beliau. – MalaysiaGazette