KUALA LUMPUR – Kira-kira 750,000 pengundi baharu termasuk pemilih berusia 18 hingga 20 tahun bakal mengundi dalam Pilihan Raya negeri (PRN) Johor nanti.
Angka ini termasuk termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun, kata Persatuan Pengundi Muda (UNDI18).
Ini adalah penambahan hampir 30 peratus kepada jumlah pengundi sedia ada di negeri berkenaan, katanya.
PRN Johor menjadi pilihan raya pertama dan menyaksikan detik bersejarah apabila anak muda berumur 18, 19 dan 20 tahun buat kali pertamanya dibenarkan untuk menjadi pengundi dalam sistem demokrasi negara selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 14 Januari lalu.
Oleh itu, Undi18 berharap penglibatan yang lebih ramai anak muda sebagai calon dalam PRN Johor.
Parti politik yang bertanding disaran menampilkan muka calon yang baharu khususnya dalam kalangan anak muda untuk terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan negeri memandangkan golongan ini memegang peratus besar sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini.
Seiring dengan itu, Undi18 akan melancarkan inisiatif #UndiJohor sebagai platform bagi menggalakkan penglibatan golongan anak muda secara langsung mahupun tidak langsung bagi membudayakan amalan demokrasi negara.
Katanya, Undi18 akan memberikan dinamik baharu dalam sistem demokrasi negara dengan penglibatan rakyat yang lebih besar dan bakal menjadi penanda aras penting sentimen anak muda dalam pilihan raya yang akan datang.
UNDI18 menyeru semua belia negeri Johor yang telah mencapai usia 18 tahun dan ke atas untuk mengambil peluang ini untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor yang akan datang. – MalaysiaGazette