Home Nasional Suspek samun pemandu e-hailing diberkas ketika cuba cuci kesan darah dalam kereta

Suspek samun pemandu e-hailing diberkas ketika cuba cuci kesan darah dalam kereta

e-hailing driver suspect robbery case Sentul
Foto: Polis IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam dan menyamun pemandu e-hailing dalam tempoh kurang 24 jam kejadian jenayah itu walaupun suspek memotong rambutnya untuk mengelak wajahnya dicam pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian samun melarikan sebuah kenderaan di Jalan Sentul Pasar, di sini pada jam 2.08 petang semalam.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa yang juga merupakan seorang anggota Rela berumur 47 tahun telah mengambil suspek di Putrajaya dengan menggunakan aplikasi In Driver.

“Setelah sampai ke destinasi di Sentul Pasar, mangsa telah memberitahu suspek jumlah tambang yang perlu dibayar namun suspek meminta akaun milik mangsa kerana mahu membuat pembayaran tambang secara atas talian.

“Semasa mangsa sedang mencari nombor akaun miliknya, secara tiba-tiba suspek telah bertindak menikam mangsa menggunakan objek tajam di bahagian leher mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, berikutan itu suspek menarik mangsa keluar dari keretanya sebelum melarikan kenderaan jenis Proton Saga bersama beberapa barangan peribadinya.

Menurut Eng Lai, mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, bertindak atas siasatan dan risikan, polis menangkap suspek warga tempatan berusia 23 tahun di sebuah bengkel mencuci kereta di Kota Damansara pada jam 12 tengah hari ketika cuba mencuci kesan darah mangsa yang terlekat pada tempat duduk dan stering kenderaan yang dilarikannya itu.

Bagaimanapun, tambah beliau, nombor plat kenderaan itu telah dibuang dan hasil siasatan polis mendapati suspek melakukan jenayah itu kerana mahu menjadi pemandu e-hailing juga dan memilih kaedah terbabit.

“Suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan pihak polis turut merampas kereta yang telah dilarikan oleh suspek samun.

“Polis juga menemui beberapa barangan termasuk senjata sebilah pisau dipercayai telah digunakan oleh suspek untuk mencederakan mangsa, pemandu e-hailing itu semasa kejadian, sebuah beg silang milik mangsa, serangkai kunci kereta, lesen memandu, passport serta kad pelantikan anggota Rela milik mangsa dan beberapa keping kad bank, katanya.

Eng Lai berkata, suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah esok untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan. – MalaysiaGazette