Home Nasional Tokey, pembalak, pemaju akibatkan banjir dibiarkan, yang beri solusi disiasat – Syed...

Tokey, pembalak, pemaju akibatkan banjir dibiarkan, yang beri solusi disiasat – Syed Saddiq

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya selepas memberi keterangan berkaitan Penyerahan Memorandum Darurat Banjir dan Krisis Iklim di Parlimen pada Khamis lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikaikan langkah kerajaan yang menekan dan menyiasatnya hanya kerana beliau mengetengahkan memorandum yang memberi solusi bencana banjir melanda negara pada akhir tahun lalu.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berasa hairan kerana tokey balak, kontraktor serta pemaju yang bertanggungjawab mengakibatkan banjir teruk sehingga perkampungan Orang Asli dan rakyat hilang tempat tinggal tidak disiasat pihak berkuasa.

“Saya dipanggil hanya kerana menerima memorandum tersebut yang diketengahkan oleh pihak Muda yang juga dirujuk kepada pejabat PM daripada pejabat ketua pembangkang dan presiden parti lain.

“Cuma pelik dan ajaibnya kita menyerahkan memorandum yang mengandungi enam penyelesaian banjir secara aman di depan Parlimen yang boleh dipertimbangkan kerajaan tetapi kami yang disiasat pula sedangkan hanya cadangkan jalan penyelesaian untuk bencana banjir, bukannya buat protes, rusuhan atau sebagainya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas memberi keterangan mengenai penyerahan memorandum itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Menurut Syed Saddiq, beliau faham polis hanya melaksanakan tanggungjawab mereka dan beliau tidak mengalami masalah semasa proses rakaman keterangan itu dilakukan.

“Ini adalah pencatur kuasa pihak atasan yang terus mahu menekan dan melunturkan semangat kami, tapi ingat kami takkan menyerah kalah dan akan terus berjuang habis-habisan demi penyelesaian tuntas masalah banjir untuk rakyat,” ujarya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau tidak dimaklumkan sama ada perlu tampil semula untuk menyambung memberi keterangan kepada polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 serta Fasa 4 Akta 342 pencegahan Covid-19.

Katanya, tidak seperti sebelum ini, polis tidak merampas telefon bimbitnya namun beliau merayu kepada pihak berkuasa itu agar memulangkan telefon bimbit yang pernah dirampas pada tahun lalu. – MalaysiaGazette