JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) akan meneliti serta mengkaji secara terperinci mengenai kemungkinan kerjasama politik dengan Pas.
Bagaimanapun setakat hari ini, majoriti kepimpinan akar umbi di semua peringkat bersepakat supaya BN bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
”Walau bagaimanapun kita di peringkat pemimpin tertingi akan meneliti sebaik-baiknya pendirian akar umbi supaya setiap keputusan yang diambil akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan BN di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.
Majlis itu dihadiri sama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Hasni Mohammad
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya tidak berpuas hati dengan tawaran empat kerusi sahaja oleh UMNO.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas berhasrat untuk mendapatkan kesemua kerusi yang gagal dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Mengulas mengenai pandangan bahawa BN sukar mendapat majoriti dua pertiga DUN jika bergerak solo, Mohamad berkata, ia sebenarnya bergantung kepada kekuatan jentera parti.
”Kerjasama antara parti BN itu penting bukan bawa haluan masing masing, UMNO dengan UMNO, MCA dengan orang MCA dan MIC dengan MIC.
“Kita perlu bergerak sebagai satu parti yang besar kerana di Johor dan negeri lain memang ada komposisi kaum di setiap zon, itu memang ada. Saya yakin jika dibuat dengan baik, kita boleh mencapai kemenangan jika diberi kepercayaan,” tegas beliau.
Ditanya adakah perjumpaan pagi tadi menyentuh calon PRN, beliau menidakan perkara itu.
Sebaliknya, Mohamad berkata, pertemuan tersebut untuk memberi semangat kepada parti-parti komponen untuk menggerakkan jentera BN bagi hadapi PRN nanti.
”Kata-kata semangat oleh Pengerusi BN dan Hasni adalah penting untuk pastikan gerak kerja jentera BN berfokus. Masing-masing perlu tahu apa hendak dilakukan agar tidak ada kekeliruan sesama sendiri,” jelas beliau. – MalaysiaGazette
Tolak je UMNO. Ismail Sabri buat MOU nak bawa masuk 1 juta Bangla dasar ekonomi apa?
Keluarga Malaysia Keluarga Bangla ke? Untuk Melayu ke? Tak cukup ke dgn masalah sosial
warga asing Mynmar, Bangla…. Tukar…tukar