Home Nasional Bukan jumpa Jho Low di jalanan, saya jumpa dia bersama Najib –...

Bukan jumpa Jho Low di jalanan, saya jumpa dia bersama Najib – Azmi

Azmi Tahir Jho Low Taek Jho Former Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for his money-laundering trial involving 1Malaysia Development Berhad (1MDB) funds. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 26 JANUARY 2022
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) berlangsung dalam keadaan tegang seketika pada sesi soal balas oleh peguambela Datuk Seri Najib Razak dengan saksi ke-12, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir hari ini.

Peguambela, Datuk Hariharan Singh Tara Singh dan Azmi seperti berbalas serangan mulut pada prosiding hari ini.

Azmi menjadi kurang senang apabila Hariharan berterusan mengasaknya sambil setiap jawapan yang diberikannya dikatakan bersifat defensif.

Dalam nada kurang senang, beliau menyatakan perkara yang diketahui olehnya dan jika itu tidak difahami oleh peguambela, beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa.

“Saya bukan defensif, saya hanya jawab sahaja. Mungkin anda tidak faham tetapi saya hanya jawab apa yang saya tahu,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Azmi juga menjelaskan dirinya menerima sahaja semua arahan yang diterima daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kerana pengurusan tertinggi 1MDB sememangnya percaya dia adalah pembawa ‘mandat’ Najib.

Ketika ditanya Hariharan mengapa tidak ditanya sahaja siapa Jho Low kepada Najib, Azmi menjawab balik dengan nada sinis yang beliau berjumpa dengan Jho Low bukan di jalanan tetapi bersama Najib.

Hariharan: Mengapa awak ikut sahaja cakap Jho Low? Adakah awak orang suruhannya?

Azmi: Tidak benar. Saya pada masa itu percaya Jho Low rapat dengan Najib.

Hariharan: Mengapa anda tidak tanya sahaja Najib tentang arahan-arahan oleh Jho Low sebaliknya anda percaya sahaja pada arahan-arahan itu?

Azmi: Saya tidak jumpa Jho Low di jalanan, saya jumpa beliau dengan Najib. Saya juga jumpa beliau dengan arwah Datuk Azlin Alias.

Ketika ini, Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi.

Prosiding akan bersambung esok pukul 9 pagi. – MalaysiaGazette