Home Utama Kastam berjaya kutip RM42.5 bilion hasil tahun lepas – PM

Kastam berjaya kutip RM42.5 bilion hasil tahun lepas – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir hadir pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke 40tahun di Kompleks Kastam, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 JANUARI 2022.

PETALING JAYA – Sebanyak RM42.5 bilion hasil berjaya dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada tahun lepas dan ia telah melepasi sasaran ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran awal menetapkan hasil sebanyak RM40 bilion.

“Alhamdulillah, sukacita saya umumkan di sini bahawa kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tahun 2021 adalah mencecah RM42.50 bilion.

“Ia melepasi sasaran awal RM40 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya berucap ketika merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-40 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Perdana Menteri berkata, JKDM turut melakar kejayaan tahun lalu apabila menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik Covid-19 dan bencana alam,” katanya.

Menurutnya, JKDM akan terus bergerak maju sebagai Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia.

“Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 bagi tahun 2022 ini membawa tema Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data.

“Tema ini adalah amat relevan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif.

“Ia sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahu pun antarabangsa,” katanya.

Katanya lagi, sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, JKDM perlu memastikan setiap warganya celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data.

“Anjakan ini selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang telah dianjurkan oleh kerajaan ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

“Hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam ini juga bukanlah suatu perkara baharu malah telah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.

Katanya lagi, kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudahcara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

“Komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette