Home Ekonomi Pasaran Perodua pulih kepada 40% tahun ini

Pasaran Perodua pulih kepada 40% tahun ini

Zainal Abidin Ahmad

KUALA LUMPUR – Perodua menjangka dapat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 40.6% tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 kenderaan daripada sasaran jualan industri (TIV) 610,000 berbanding 37.4% bahagian pasaran pada 2021.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, ramalan 610,000 TIV adalah unjuran dalaman Perodua kerana syarikat tersebut percaya pasaran mampu melepasi sasaran 600,000 TIV yang ditetapkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.

Selain itu, Perodua melihat jaminan daripada kerajaan bahawa langkah-langkah dalam membendung wabak Covid-19 menunjukkan kejayaan dan penutupan tidak akan berlaku lagi.

‘Tahun ini, kami menjangkakan untuk mengeluarkan sebanyak 265,900 kenderaan iaitu 37.5 % lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan yang dihasilkan pada 2021.

”Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa peningkatan pembelian alat ganti automotif sumber tempatan sebanyak 41.5% iaitu kepada RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021.

”Pemulihan ini akan membantu industri untuk pulih dengan lebih cepat kerana permintaan terhadap kenderaan masih kukuh," kata beliau.

Untuk tahun 2022, Perodua mengunjurkan permintaan adalah kukuh bagi semua model dengan Myvi mendahului dengan mencatatkan sebanyak 47,525 unit diikuti Axia 43,080 unit, Bezza 42,698 unit, Ativa 26,847 unit, Aruz 15,313 unit dan Alza 14,828 unit.

Sejak ia dilancarkan pada 18 November 2021, Perodua telah menyerahkan 7,055 Myvi Baharu dengan tempahan mencecah 31,154 unit sejak 9 November 2021.

Zainal menjelaskan, inisiatif pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan masih menjadi insentif yang terbaik buat pengguna untuk membeli kereta baharu mereka.

”Jumlah tempahan kami untuk kenderaan baharu masih sihat dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan dan ini bermakna kami dapat memenuhi tempahan yang tertunggak tepat pada masanya,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi 2021, beliau mengakui tahun ini amat mencabar kerana negara dan industri utamanya terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis di sepanjang tahun.

Bagi 2021, Perodua menjual 190,291 kenderaan, iaitu 13.6% kurang berbanding 220,163 kenderaan yang didaftarkan pada 2020. – MalaysiaGazette