Home Nasional Pemilik bengkel trauma lihat kereta pelanggan terjunam dalam longkang

Pemilik bengkel trauma lihat kereta pelanggan terjunam dalam longkang

Alter Jasan

SERI KEMBANGAN – Seramai 17 peniaga yang terjejas susulan insiden pemendapan tanah di LP 1A/2, Jalan Lestari Perdana bimbang mengenai keselamatan jangka masa panjang memandangkan ia adalah kejadian kedua.

Mereka telah diarah mengosongkan segera bangunan niaga masing-masing untuk tempoh seminggu sebagai memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan dan penanaman cerucuk besi bagi menghentikan runtuhan tersebut.

Seorang pekerja kedai menjual pakaian seragam di Jalan Lestari Perdana, Nur Diana Ibrahim, 24, berkata, mereka menerima arahan pengosongan serta-merta semalam.

“Buat masa ini kami diarahkan kosongkan segera premis untuk tempoh seminggu. Oleh itu, kami akan mengalihkan perniagaan ke premis setor penyimpanan pakaian perubatan yang terletak di lorong belakang kerana di sana selamat dari runtuhan.

“Namun kami tertanya-tanya keadaan selepas seminggu kerana difahamkan pergerakan tanah di situ masih berlaku,” katanya.

Nur Diana Ibrahim

Menceritakan detik-detik runtuhan itu berlaku, Nur Diana berkata, ia bermula dengan keretakan ketara dan terus runtuh.

”Berlaku begitu pantas dan tiada sebarang bunyi runtuhan kedengaran walaupun ketika itu hujan sudah berhenti.

“Mujur ketika itu kebanyakan pekerja di sini sudah pulang,” tambahnya.

Dalam pada itu seorang pemilik bengkel kereta, Alter Jasan, 39, yang sudah 10 tahun bertapak di kawasan perniagaan itu sedih kerana terpaksa menangguhkan operasi perniagaanya disebabkan kejadian itu.

Beliau hanya sempat menyelamatkan 10 kenderaan milik pelanggannya yang dihantar untuk dibaiki manakala tiga lagi tergelongsor bersama mendapan tanah di tebing longkang itu.

Katanya, insiden seumpama itu pernah berlaku pada tahun 2017 tetapu di hujung deretan kedai.

Tapi yang berlaku semalam adalah yang terburuk pernah disaksikannya.

”Kesan runtuhan insiden pertama masih ada kesannya. Saya kesal kerana tak nampak sebarang tindakan pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa walaupun beberapa kali aduan telah dikemukakan ketika itu,” tambahnya.

Kerja-kerja pembaikan dan menanam cerucuk sedang dijalankan di kawasan runtuhan di Lestari Perdana.

Alter menambah, dalam kejadian petang semalam, dia bernasib baik kerana kakitangan pekerja pejabat di atas bengkelnya ternampak rekahan dari atas.

“Saya sempat berlari mengalihkan 10 kereta milik pelanggan, malangnya tiga lagi kenderaan milik pelanggan  tidak sempat diselamatkan kerana tanah sudah runtuh berlaku dengan pantas.

“…saya tak terdaya buat apa-apa dan masih trauma dengan insiden itu,” ujar beliau.

Kejadian kali kedua itu, katanya, menimbulkan rasa bimbang tentang potensi perniagaannya untuk jangka panjang.

“Saya meminta pihak berkuasa siasat secara menyeluruh dan tangani insiden ini secara menyeluruh dengan langkah keselamatan lebih kukuh elak insiden sama berulang lagi,” tegasnya. – MalaysiaGazette