Home Seni Hidup Sate 50 sen, mahu semua merasa

Sate 50 sen, mahu semua merasa

Norlela Abu Bakarmelayan pelanggan yang datang membeli sate 50 sen yang dijual bersama suaminya, Jailani Md Noor di Pekan Nyalas.

JASIN – Kenaikan mendadak bahan mentah khususnya harga ayam seolah-olah tidak memberi kesan kepada seorang warga emas apabila mampu menjual sate pada harga 50 sen sejak 10 tahun lalu.

Bagi Jailani Md Noor, 64, dia mempunyai alasan tersendiri mengekalkan harga itu sehingga kini biarpun hanya mendapat untung yang sedikit.

Menurutnya, kepuasan pelanggan dari segi rasa dan kualiti sate dihasilkan sentiasa menjadi keutamaan yang menjadi rahsiamya kekal dalam perniagaan diusahakannya bersama isteri, Norlela Abu Bakar, 49.

“Sebenarnya, ‘sifir’ perniagaan saya mudah, keberkatan dalam setiap rezeki itu juga datangnya daripada setiap doa pelanggan yang berpuas hati dengan apa yang kita jual untuk mereka.

“Jadi biarlah saya untung sedikit, tapi ramai yang mampu beli dan itu lebih bermakna bagi saya yang mahu kekal lama dalam perniagaan ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Pekan Nyalas, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Jailani berkata, kenaikan harga ayam mentah dan daging lembu sehingga lebih 20 peratus sejak Disember lalu sedikit sebanyak diakui memberi kesan untuk mengekalkan harga adalah sate ayam dan daging pada harga 50 sen secucuk.

“Macam sekarang ini, harga isi ayam yang saya beli untuk diproses menjadi sate sekitar RM11.25 sekilogram manakala daging RM16.50.

“Kacang tanah untuk buat kuah pun dah naik RM8.50 sekilogram tapi insya-Allah dengan jualan yang ada sekarang ini, saya mampu mengekalkan harga 50 sen ini,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, dia mampu menjual sekitar 500 hingga 700 cucuk sehari di tepi jalan di Pekan Nyalasa selain turut berniaga di pasar malam.

Jailani berkata, dia dan isteri juga sedia menerima tempahan dan boleh menghubunginya di talian 011-23071523 dan 017-3577516.