GEORGE TOWN – Lima lelaki ditahan selepas terlibat dalam satu pergaduhan ketika melakukan urusan menarik kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan mozek dengan dua kenderaan lain kira-kira jam 2 petang di lebuh raya berkenaan.
Jelas beliau, susulan insiden itu berlaku perselisihan faham membabitkan 20 pekerja penarik kenderaan yang berada di lokasi sebelum masing-masing mula bergaduh.
“Anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang berada di lokasi kejadian telah cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun gagal sebelum mereka mendapatkan bantuan dari anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD sama.
“Bagaimanapun, sebaik anggota MPV dan URB tiba di lokasi kesemua individu berkenaan telah melarikan diri.
“Susulan itu, kita berjaya kesan mereka yang terlibat sebelum melakukan tangkapan terhadap lima suspek berusia 26 hingga 50 tahun di sekitar George Town,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Turut dirampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi keledar serta besi mengunci tayar motosikal (fork lock).
Tambah Soffian, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dilakukan hari ini di Mahkamah Majistret George Town.
“Selain itu, pihak polis juga kini sedang mengesan suspek lain yang turut terlibat dalam kes tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata,” kata beliau.
Semalam tular satu video berdurasi 30 saat menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di lokasi kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu. – MalaysiaGazette