KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) hari ini melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan yang membolehkan pembayaran rentas sempadan yang pantas, selamat dan cekap antara Malaysia dengan Indonesia.
Melalui jalinan ini, pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau QRIS (Quick Response Code Indonesian Standard) yang dipaparkan oleh peniaga-peniaga di premis dan secara dalam talian.
Dalam kenyataan bersama hari ini, BNM dan BI berkata, pelancaran komersial penuh pada suku ketiga tahun 2022 dan akan diperluas pada masa hadapan bagi menyokong aktiviti kiriman wang rentas sempadan iaitu pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pindahan dana secara masa nyata dengan mudah.
Projek ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan di kedua-dua negara di bawah pengawasan bersama BNM dan BI dan pihak berkepentingan ini termasuk Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Asosiasi Sistem Pembayaran Indonesia (ASPI) dan RAJA (Rintis, Artajasa, Jalin and Alto) selaku pengendali sistem pembayaran; CIMB Bank Berhad, Bank Mandiri dan Bank Negara Indonesia sebagai bank penyelesaian; serta bank-bank dan penyedia perkhidmatan pembayaran bukan bank dari kedua-dua negara yang mengambil bahagian.
Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor BNM berkata, jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia merupakan pencapaian penting dalam kerjasama erat antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin.
Selain itu, fasa kedua jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Thailand2 juga telah bermula minggu ini.
”Perkembangan sebegini akan membawa kita lebih dekat ke arah merealisasikan visi mewujudkan rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas dan cekap. Hal ini seterusnya akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan supaya individu serta peniaga dapat meraih manfaat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Gabenor BI, Doni P. Joewono pula berkata, inisiatif ini menghubungkan pembayaran rentas sempadan melalui kesalinghubungan kod QR kebangsaan dua negara dan juga merupakan satu lagi pencapaian dalam Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025.
”Usaha ini juga akan menjadi langkah penting untuk meningkatkan kecekapan transaksi, menyokong pendigitalan dalam sektor perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCS)
”Kecekapan transaksi akan meningkat dan seterusnya kos transaksi dapat dikurangkan melalui penggunaan sebut harga langsung kadar pertukaran mata wang tempatan yang disediakan oleh bank-bank yang merupakan Appointed Cross Currency Dealers (ACCD) di bawah Rangka Kerja LCS,” ujarnya.
Kesalinghubungan pembayaran ini akan mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dengan Indonesia dan menyokong pemulihan ekonomi selepas pandemik.
Apabila perjalanan antarabangsa dibuka semula, sektor pelancongan akan menjadi sektor utama yang banyak menerima manfaat daripada perkhidmatan ini.
Aliran pelancong yang besar antara kedua-dua negara ini mencatatkan purata 5.6 juta ketibaan setiap tahun sebelum berlakunya pandemik.
Kedua-dua negara ini juga merupakan koridor kiriman wang yang utama bagi warganegara masing-masing yang bekerja di Malaysia dan Indonesia dan para pekerja akan mendapat manfaat daripada kiriman wang rentas sempadan yang lebih pantas, murah dan telus.
Inisiatif ini juga selaras dengan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments yang dibangunkan oleh Financial Stability Board dan badan-badan antarabangsa lain. – MalaysiaGazette