TAIPING – Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kejadian amuk hingga merosakkan cermin sebuah kereta dalam satu kejadian di hadapan Crystal Greek Residence di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan pada pukul 12.55 tengah hari tadi selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 40 saat yang tular di laman sosial Facebook.
Jelas beliau, berdasarkan video bertajuk A Dog Died After Being Run Over, So The Owner Decided To Take Revenge. kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan sebelum polis mengesan mereka yang terlibat.
Kejadian itu berlaku akibat rasa tidak puas hati berpunca daripada satu kemalangan membabitkan bapa lelaki berkenaan yang dilanggar ketika membawa anjing bersiar.
Keadaan menjadi tegang apabila anjing tersebut mati di tempat kejadian.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 323 akta sama kerana dengan sengaja mendatangkan cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Video tular terbabit memaparkan seorang lelaki dalam keadaan marah memegang sebatang kayu dan bertindak memecahkan cermin sebuah kereta. – MalaysiaGazette