PETALING JAYA – Kelibat Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Brad Maloney tidak kelihatan pada hari pertama kem latihan bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Kemboja bulan depan.
Penolongnya, Khan Hung Meng memberitahu, Maloney kini masih dalam tempoh kuarantin tujuh hari kerana baru tiba dari Australia.
“Beliau perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana baru sampai dari luar negara namun kami sentiasa berhubung untuk maklumat latihan terkini menerusi Zoom atas talian,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Sukan PKNS di sini petang tadi.
Harimau Malaya B-23 memulakan latihan pertama bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 Di Phnom Penh, Kemboja.
Sesi latihan dikendalikan penolong jurulatih, Hung Meng; jurulatih penjaga gol, Kris Yong Wai Hwang dan jurulatih kecergasan, Reuben Jude.
Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell turut sama hadir bagi memberikan sedikit taklimat ringkas kepada para pemain sebelum bermulanya sesi latihan.
Seramai 23 pemain turun menjalani sesi latihan pertama itu manakala baki tujuh pemain lain dijadual melapor diri secara berperingkat pada 1 dan 6 Februari depan.
Kem latihan pusat selama dua minggu ini adalah sebagai persiapan Harimau Malaya B-23 bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari 2022. – MalaysiaGazette