Home Nasional Kenapa Zafrul benarkan Genting HK dapat pinjaman? – Anwar

Kenapa Zafrul benarkan Genting HK dapat pinjaman? – Anwar

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang didakwa membenarkan tiga bank tempatan memberi pinjaman kepada syarikat perjudian.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila pinjaman kewangan itu diberikan tanpa jaminan kepada sebuah syarikat dari Hong Kong yang telah diisytiharkan muflis.

“Saya mendesak Menteri Kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong.

“Ini adalah kerana kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank itu.

“Bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian ini boleh diberi dengan sebegitu mudah?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad yang dijangka mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran Genting Hong Kong yang diisytihar muflis.

Media melaporkan, ketiga-tiga bank tersebut telah memberi pinjaman tanpa jaminan berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion).

Pemfailan pembubaran Genting Hong Kong dibuat seminggu selepas anak syarikatnya bagi pembuatan kapal di Jerman, MV Werften, mengalami situasi ketidakmampuan bayar.

Anwar juga berkata, walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong dan pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia namun pihak bank perlu meminta jaminan peribadi atau simpanannya dalam syarikat dimilikinya di negara ini.

“Menteri Kewangan juga dituntut menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.51 billion ini akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis.

“Bagi saya, penjelasan ini perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette