Home Politik PH sudah muktamadkan kerusi ditandingi pada PRN Johor

PH sudah muktamadkan kerusi ditandingi pada PRN Johor

Mohamad Sabu

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi setiap parti komponennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada Isnin lepas gabungan itu memutuskan Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing akan bertanding 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi.

Bagaimanapun, katanya senarai calon masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan pada masa ini.

“Namun dalam masa sama, kita juga masih membuka ruang perbincangan bersama mana-mana parti lain sekiranya mereka mahu menjalin kerjasama bersama PH dalam PRN Johor ini.

“Jika dengan penyertaan mereka boleh meningkatkan lagi peluang kemenangan kepada PH, ketiga-tiga pucuk pimpinan parti akan mengadakan perbincangan secara bersama,” katanya kepada pemberita di Permas Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Beliau berkata, perbincangan berhubung kerjasama dengan parti-parti lain seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berjalan dan keputusan perbincangan akan diketahui dalam masa sehari dua ini.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, senarai calon parti itu yang akan bertanding telahpun siap dan hanya menunggu pengesahan daripada kepimpinan pusat.

Katanya daripada 20 kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah, 14 daripadanya akan ditandingi calon muka baharu yang sebahagiannya adalah calon muda.

Berhubung keputusan Majlis Presiden PH membenarkan PKR menggunakan logo sendiri pada PRN Johor, Mohamad berkata, ia tidak akan mengelirukan pengundi kerana logo PKR dan logo PH sudah sinonim kepada pengundi di negeri itu.

“Jadi bagi saya tiada masalah membenarkan PKR menggunakan logo mereka sendiri dalam mewakili PH di kawasan ditandingi calon mereka,” katanya. – Bernama