Home Nasional Pelajar yang tidak ambil peperiksaan duduk di rumah dulu – PAN

Pelajar yang tidak ambil peperiksaan duduk di rumah dulu – PAN

Syazmir Hariz Noorazalan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang supaya merehatkan semua murid yang tidak terlibat dalam peperiksaan daripada hadir ke sekolah sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19 yang kini bertambah.

Ketua Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Syazmir Hariz Noorazalan berkata, cadangan itu susulan peningkatan penularan wabak tersebut membabitkan kluster pendidikan hingga hampir keseluruhan operasi persekolahan di beberapa negeri di Semenanjung terpaksa ditutup.

“Situasi ini amat membimbangkan murid itu sendiri, guru sebagai barisan hadapan di sekolah dan ibu bapa sebagai pihak yang bertanggungjawab memantau keadaan semasa.

“Malangnya, KPM masih meminta pihak sekolah terus menggunakan SOP yang telah ditetapkan sebelum ini dan seolah-olah belum tiba masanya untuk KPM mengemas kini SOP tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Syazmir berkata, berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), virus Omicron mempunyai perbezaan dari segi penularannya berbanding Covid-19 dan kenyataan itu memerlukan KPM mengemas kini SOP berpandukan kes bagi virus itu.

Katanya, murid yang bukan peperiksaan sudahpun selesai menjalani Pentaksiran Akhir Tahun (PAT) mahupun Pentaksiran Setara Standard (PSS) masing-masing manakala buku teks juga sudahpun dikembalikan kepada pihak sekolah.

Ia menandakan bahawa pengajaran dan pembelajaran (PdP) berteraskan peperiksaan sudah pun tamat walaupun sesi persekolahan akan berakhir Mac nanti.

“Pengurangan jumlah murid mampu mengurangkan risiko jangkitan di sekolah memandangkan jumlah murid telah diminimumkan.

“Ruang-ruang kosong yang ditinggalkan oleh murid yang direhatkan akan memudahkan urusan Unit Peperiksaan menggunakan ruang tersebut untuk pelaksanaan peperiksaan amali SPM memandangkan format baharu SPM memerlukan ruang yang banyak mulai 8 Februari 2022.

“Bukan semua sekolah mempunyai ruang yang cukup apabila sesi persekolahan dijalan seperti biasa,” jelasnya.

Katanya lagi, apa yang penting langkah  ini mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada guru-guru yang wajib hadir ke sekolah atas tugas hakiki, calon-calon peperiksaan dan petugas -petugas yang berada di sekolah. – MalaysiaGazette