TAK kenal maka tak cinta. Begitulah ungkapan yang sering dizahirkan oleh saudara baru tentang Islam. Kembalinya mereka kepada agama tauhid ini membuahkan rasa sayang dan kasih setelah mendalami ajaran-ajaran Islam yang sebenarnya. Mereka bahkan seperti dilahirkan semula tanpa dosa dan seperti kain putih yang suci bersih.
Golongan bukan Islam amat takut untuk mendalami tentang Islam, namun bagi yang diberi hidayah oleh Allah SWT untuk mengenali Islam melalui pembacaan dan contoh-contoh di depan mata, mereka akan terus jatuh cinta. Cinta pada Islam juga atas sifat universalnya, sesuai untuk semua tanpa mengira bangsa
dan warna kulit.
Apa yang dimaksudkan dengan saudara baru? Saudara baru adalah mereka yang memeluk Islam kurang dari lima tahun menurut ketetapan JAKIM.
Ini tempoh kritikal menjinak dan mengikat hati-hati saudara baru pada Islam serta usaha-usaha mendalami tentang Islam. Nasib mereka perlu dibela sehingga mereka mampu berdikari dan teguh hati menghadapi pelbagai cabaran.
Tidak mudah menukar agama, ditambah dengan pelbagai persepsi dan salah faham tentang Islam. Detik memeluk Islam menjadi permulaan hidup penuh cabaran. Sanggupkah anda dihalau dan dipulaukan? Itu hanyalah antara pelbagai cabaran yang dihadapi oleh saudara-saudara baru kita.
Secara amnya, cabaran boleh dilihat dari tiga sudut iaitu diri, keluarga dan masyarakat. Cabaran-cabaran ini akan memberi tekanan kepada mereka maka penting untuk kita fahami agar kita dapat membantu mereka mengatasinya.
Cabaran diri
Kebanyakan daripada saudara baru berbelah bahagi memikirkan sama ada pilihan menukar agama adalah keputusan yang tepat. Jika tidak ditangani dengan betul, kemungkinan mereka akan menukar fikiran atau membawa kepada kesedihan, kegusaran dan kemurungan. Apakah peranan kita dalam situasi sebegini? Sewajarnya kita memberikan mereka semangat serta keyakinan dengan selalu mengajak mereka berbincang tentang kebenarandan keindahan Islam.
Penting bagi kita untuk membetulkan salah tanggapan terhadap Islam yang didengari daripada mereka yang ingin menghalang niat baik saudara baru ini memeluk Islam. Antara isu besar yang sering dimainkan adalah berkaitan berkhatan. Walaupun merekaberminat kepada Islam, namun rasa takut untuk berkhatan tetap menghantui mereka.
Bagi kaum wanita pula, bertudung atau menutup aurat juga menjadi isu yang perlu ditangani.Ada juga dalam kalangan saudara baru yang berasa tidak berpuas hati dengan panggilan saudara baru atau mualaf itu sendiri. Mereka merasakan dalam Islam ada diamalkan kasta atau peringkat penganut. Mereka
merasakan seperti dibeza-bezakan taraf keislaman mereka itu.
Oleh kerana itu, panggilan ini hanya merujuk kepada mereka yang betul-betul baru memeluk Islam, iaitu dalam lingkungan satu hingga lima tahun pertama memeluk Islam kerana dalam fasa ini, mereka perlu dialu-alukan dan dibimbing mendalami ajaran Islam dengan baik.Kewangan antara cabaran besar bagi sesetengah mereka. Ini mungkin kerana hilangnyapekerjaan dan hilangnya hak tuntutan harta pusaka keluarga.
Ada juga yang terpaksa berhenti kerja kerana pekerjaan sebelumnya bercanggah dengan syariat Islam seperti bekerja di premis-premis judi dan kedai arak.
Kesempitan hidup dan hilang sumber pendapatan kadangkala menjadi penyebab kepada saudara baru ini memilih untuk kembali kepada agama asal.
Islam telah menetapkan mualaf antara lapan asnaf yang layak menerima zakat.
Di samping itu, skim bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri dapat membantu menjaga kebajikan saudara baru agar mereka dapat keluar daripada kemelut ekonomi sebelum mendapatsolusi jangka panjang. Inilah antara solusi yang ada dan sepatutnya difahamkan kepada para saudara baru agar
mereka tahu kepada siapa patut mereka tuju jika berdepan dengan masalah kewangan.
1. Cabaran keluarga
”Masalah sosial yang sering dihadapi oleh saudara baru ialah tekanan keluarga supaya kembali kepada agama asal mereka. Ini ditambah pula tanggapan bahawa setiap saudara baru akan memutuskan hubungan kekeluargaan kerana memilih Islam.” (Dr Abd Manaf Ali, Majalah Dakwah, Februari 1991) Tekanan daripada keluarga membuatkan ada dalam kalangan saudara baru yang menyembunyikan keislaman mereka bertahun-tahun lamanya.
Ini bagi mengelakkan pertembungan dan menjaga hati ahli keluarga yang susah untuk memahami mengapa mereka memilih untuk memeluk Islam. Tentu perit hidup mereka jika disisihkan oleh ahli keluarga sendiri. Keadaan ini akan menyebabkan mereka berasa dipinggirkan dan akhirnya mungkin menyebabkan mereka merasa putus asa untuk terus berada dalam agama Islam jika tiada sokongan yang kuat daripada rakan, masyarakat atau institusi yang berkaitan.
Namun ahli keluarga akan mudah menerima jika dilihat ada perubahan positif serta pergaulan dengan ahli keluarga adalah seperti sebelum mereka mengisytiharkan diri sebagai seorang Muslim. Keluarga juga perlu difahamkan terlebih dahulu bahawa hubungan kekeluargaan tidak akan
terputus walaupun telah berbeza fahaman agama kelak.
2. Cabaran masyarakat
Penerimaan masyarakat juga menjadi cabaran pada saudara baru. Ia sering dikaitkan dengan kejadian murtad disebabkan keyakinan belum kukuh dan gagal menyesuaikan diri serta kecewa dengan situasi baharu. Segelintir masyarakat mempunyai tanggapan tersendiri akan asbab saudara baru ini memilih untuk memeluk Islam.
Kita perlu faham bahawa apa jua asbab, itu adalah cara hidayah Allah sampai kepada mereka. Siapalah kita untuk mempersoalkannya. Apa jua tujuan mereka memeluk Islam, yang penting mereka berusaha membentuk diri menjadi Muslim yang bertakwa. Pertembungan budaya dan adat serta cara hidup Islam adalah antara cabaran yang perlu diatasi oleh saudara baru. Saudara baru perlu faham bahawa mereka boleh kekalkan budaya dan adat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Mereka juga sering disindir sebagai ‘masuk Melayu’ oleh keluarga dan kenalan. Ini lebih parah lagi apabila orang Melayu sendiri mempunyai tanggapan sedemikian. Saudara baru yang tidak dapat menjalani kehidupan mengikut norma budaya orang Melayu, besar kemungkinan akan dipinggirkan oleh masyarakat Melayu sendiri seperti yang pernah diungkapkan oleh Ustaz Hussein Yee Abdullah: ”Mereka menghina saya dan mengkritik saya. Saya tidak pernah dihina oleh orang saya sendiri, tetapi selepas memeluk Islam, saya dihina oleh orang Islam sendiri.” (Majalah Ummi, Oktober 1992)
3. Ujian kita
Melihat kepada rapuhnya emosi dan pegangan saudara baru, amat penting masyarakat menerima kehadiran mereka agar mereka tidak menghadapi permasalahan dan cabaran sendirian. Mereka perlukan bimbingan dan sokongan agar mereka tetap yakin untuk terus beriman kepada Allah SWT serta tidak kembali kepada agama asal.
Bantulah dengan memberi semangat, motivasi dan perhatian agar mereka kuat menghadapi cabaran dalam mencari reda Allah. Ini juga sebenarnya satu bentuk ujian kepada kita sebagai umat Islam, sama ada berjaya atau tidak menjalankan tanggungjawab menyantuni saudara baru dalam kalangan kita.
Oleh: Wan Fauziah Wan Kadir
Ahli Jawatankuasa
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Selangor