Home Sukan Saya bukan ‘gila kuasa’, akan lepas jawatan bila tiba masa – Hamidin

Saya bukan ‘gila kuasa’, akan lepas jawatan bila tiba masa – Hamidin

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR – Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila tiba masanya.

Menurut Hamidin, beliau bukannya seorang yang ‘gila kuasa’ hingga mahu memimpin FAM dalam tempoh 30 tahun.

Sebaliknya, beliau tidak boleh meninggalkan FAM begitu saja berikutan mahu memastikan badan induk itu dalam keadaan terbaik sebelum mengumumkan persaraan.

“(Saya) bukan nak duduk 30 tahun dekat sini (FAM). Saya fokus (buat kerja) dan saya tak takut. Sebab itu saya ke sini. Saya boleh tinggalkan FAM, tetapi FAM akan rosak buat ketika ini dan selepas itu akan bermasalah lagi.

“Saya akan pergi, masa itu orang tak tahu masa bila saya akan pergi. Dalam keadaan seperti ini, sebagai ketua mana boleh (tinggalkan FAM).

“Lagipun hanya kalah pasukan kebangsaan, bukan ada masalah kewangan atau masalah itu, masalah ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro Online.

Untuk rekod, Hamidin yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM mencipta sejarah apabila menjadi orang pertama yang bukan dalam kalangan kerabat diraja atau ahli politik dipilih sebagai Presiden FAM.

Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM pada Julai 2018 bagi menggantikan penyandangnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatannya pada Mac 2018. – MalaysiaGazette