KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dikatakan akan memuktamadkan agihan kerusi komponen parti itu dalam tempoh satu minggu lagi, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu dilapor dinyatakan Pengerusinya, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat PN Johor, semalam.
Menurut laporan portal mesra PPBM, Muhyiddin dilaporkan berkata, keputusan itu akan dibuat selepas selesai rundingan bersama antara Pas dan Parti Gerakan.
“Kita hampir selesai agihan kerusi, tetapi mesyuarat tadi belum selesai. Ada sedikit pertindihan kepentingan antara parti dan soal itu akan diselesaikan pasukan perunding.
“Perkara itu belum dimuktamadkan sehingga diselesaikan pimpinan PN masing-masing di peringkat pusat dan saya jangkakan semua ini dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu ini,” katanya yang dilaporkan sebagai berkata.
Mesyuarat hampir tiga jam itu turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Parti Gerakan negeri, Datuk Teo Kok Chee.
Menjawab soalan sama ada PN sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor, Muhyiddin berkata, hingga kini tiada lagi usaha atau gerakan ke arah itu.
“Setakat ini tidak ada lagi ‘move’ terhadap perkara itu, jadi saya tidak ada apa nak nyatakan perlu atau pun tidak.
“Dalam politik ini, apa saja boleh terjadi dan setakat hari ini tidak ada lagi, tetapi kalau ada akan datang nanti pimpinan parti yang akan putuskan, bukan saya.
“Bukan saya seorang saja untuk membuat keputusan apa nak buat, terima tak terima, tolak dan runding,” katanya. – MalaysiaGazette