KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan mengambil serius laporan sebuah badan kesatuan sekerja yang mendedahkan masih ada majikan melarang pekerja beragama Islam menunaikan solat waktu bekerja.
Ketua Penerangan Putra Bahagian Gombak, Mohd Azfarudin Ariffin menegaskan, tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana sudah termaktub dalam Akta Buruh ketetapan 20 minit waktu solat untuk setiap pekerja.
“Kita memandang serius laporan Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Dalam Proses Semakan Sejagat (MACSA) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengenai perkara itu.
“Laporan itu mendedahkan ada antara majikan menetapkan denda RM500 kepada pekerjanya yang ingkar arahan dan peraturan syarikat mengenai larangan solat.
“Di mana kekuatan majoriti Islam di Malaysia sebagai agama Persekutuan? Sedangkan telah dipersetujui ketetapan waktu solat adalah 20 minit hari bekerja biasa dan 1 jam 30 minit solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam, MACSA melaporkan menerima beberapa laporan mengenai majikan menghalang pekerja daripada menunaikan ibadah solat dalam waktu kerja.
Walaupun Jabatan Tenaga Kerja (JKT) telah menggariskan pekerja perlu diberi pelepasan untuk solat fardu dan solat Jumaat, namun garis panduan itu hanya cadangan semata-mata, tiada sebarang hukuman sekiranya majikan ingkari.
MACSA turut memetik kisah Khalid Amir (bukan nama sebenar), seorang penyelia logistik di syarikat penjualan kereta dari Jepun membuat aduan, pegawai atasannya sentiasa mengganggu dan menghalang beliau setiap kali mahu menunaikan ibadah solat dalam waktu bekerja seperti mana disiarkan New Straits Time.
Menurut Mohd Azfarudin Ariffin, Putra Gombak dukacita dengan laporan dan keluhan pekerja beragama Islam disekat melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim untuk menunaikan solat sewaktu bekerja.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Gombak, Mohamed Shahrin Ismail turut menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap majikan dan syarikat yang melanggar undang-undang itu.
Kata beliau, Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali pernah dengan tegas menolak segala fahaman liberal dan hak asasi manusia yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti terkandung dalam al-Quran, hadis sahih, ijtimak ulamak dan adat resam budaya bangsa dengan menekankan Islam adalah agama rasmi persekutuan.
“Beliau baharu menyuarakan dengan lantang dan tegas hal itu pada Persidangan Agung Kali ke-2 Putra di Kuala Lumpur, Ahad lalu,” katanya.
Menurut Mohamed Shahrin, kerajaan perlu lebih cakna dan peka dengan nasib pekerja yang ditekan seolah-olah tiada undang-undang mampu memberi hak yang sememangnya termaktub dalam Akta Buruh.
Tegas beliau, Putra mendukung perlembagaan dan institusi raja serta menolak rasis agama atau bangsa yang akan menimbulkan ketidakharmonian masyarakat majmuk. – MalaysiaGazette