KUALA LUMPUR – Sultan Selangor mahu pihak-pihak berkuasa menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atasĀ pengamal perubatan swasta di negeri itu yang menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan dengan menawar dan menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.
Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dan sangat prihatin apabila diberitahu tentang kegiatan tidak bermoral itu.
Sultan Selangor juga terkejut dengan modus operandi (MO) seorang doktor pemilik sebuah klinik di Gombak dan enam orang pembantu klinik, yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.
”Jika didapati bersalah, mereka ini harus dijatuhi hukuman paling berat,” kata baginda yang amat kecewa dengan perkembangan terbaharu ini kerana boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
Tegas Baginda, sekiranya kegiatan sebegini terus berleluasa, ditambah pula dengan kedegilan golongan anti-vaksin, bilakah kemelut wabak Covid-19 yang telah membelenggu dunia dan mengorbankan jutaan nyawa sejak dua tahun lalu akan berakhir.
Rakyat di negara ini, titah Baginda, tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti Covid-19, yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.
Sehubungan itu, Baginda berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam. – MalaysiaGazette