Home Politik PKR guna logo sendiri pada pilihan raya bukan perkara baharu – Anwar

PKR guna logo sendiri pada pilihan raya bukan perkara baharu – Anwar

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim tinjau kem perubatan kesihatan percuma Kumpulan SP Care dan Mahasiswa Keadilan Malaysia.

SEREMBAN – Penggunaan logo parti masing-masing dalam kalangan sekutu Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya bukan perkara baharu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada pihak yang sengaja perbesarkan keputusan partinya menggunakan logo sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mempunyai agenda tertentu.

“Logo berbeza tapi hubungan dalam kepimpinan PH kuat dan mantap. Tidak ada apa-apa beza atau aneh di situ malah dalam beberapa pilihan, penggunaan logo berbeza memang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Kem Perubatan Kesihatan Percuma selama dua hari anjuran Pusat Khidmat Rakyat Port Dickson dengan kerjasama Kumpulan SP Care dan Mahasiswa Keadilan Malaysia di Port Dickson.

Majlis Presiden PH bersetuju sebelum ini telah bersetuju membenarkan DAP dan Amanah menggunakan logo PH pada PRN Johor akan datang manakala PKR menggunakan logonya sendiri pada PRN Johor.

Sebagai contoh, kata Anwar, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan PRN Sabah parti itu menggunakan logonya manakala DAP menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mana ia tidak menjejaskan hubungan antara kedua-duanya.

Menurut Anwar, PKR mengambil keputusan untuk menggunakan logo sendiri pada PRN itu bagi sentimen penduduk desa terutamanya masyarakat Melayu.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim tinjau kem perubatan kesihatan percuma Kumpulan SP Care dan Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Sementara itu, Pengasas SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, kem perubatan itu bertujuan memberi akses kepada penduduk setempat bagi mendapatkan saringan pemeriksaan percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, gula dalam darah dan juga pemeriksaan Indeks Jisim Badan BMI.

“Kem perubatan percuma seperti ini boleh dimanfaatkan dengan sesi konsultansi dengan bercakap dengan doktor dan jururawat serta pegawai perubatan SP Care kami, ada juga yang kita bekalkan dengan ubat-ubatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette