Home Nasional ‘Doktor cakap saya ada masalah kulit’ – pemandu

‘Doktor cakap saya ada masalah kulit’ – pemandu

MELAKA – “Betul, saya kena guna cermin gelap sebab doktor cakap ada masalah kulit,”

Itu ayat spontan dikeluarkan seorang pemandu wanita bagi mengelak kenderaan mewah dipandunya dikenakan tindakan atas kesalahan menggunakan cermin gelap pada Ops Tahun Baru Cina 2022 (TBC 2022) di sini malam tadi.

Tindakan pemandu berusia 40-an itu yang dipercayai cuba ‘memerangkap’ anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bagaimanapun gagal apabila dia dikenakan Notis PG1 setelah gagal menunjukkan bukti kebenaran menggunakan cermin gelap seperti didakwa.

Notis PG1 adalah larangan penggunaan kenderaan dalam tempoh 10 hari dan dalam tempoh terbabit pemilik kenderaan dikehendaki menukar cermin gelap kepada cermin yang mematuhi undang-undang.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, perbuatan wanita terbabit adalah antara 224 kesalahan daripada 176 notis yang dikeluarkan dalam operasi bersepadu sekatan jalan raya Ops TBC 2022 di Jalan Syed Abdul Aziz malam tadi.

“Dalam operasi itu, sebanyak 750 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 176 telah diambil tindakan dengan 126 notis saman dikeluarkan membabitkan nilai keseluruhan saman berjumlah RM37,800.

“Kesalahan paling tinggi adalah cukai jalan tamat tempoh sebanyak 114, tiada lesen (47), cermin gelap (45), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (18) dan dua kesalahan teknikal pengubahsuaian enjin,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata Ops TBC 2022 bermula 25 Januari sehingga Sabtu lalu juga menyaksikan sebanyak 251 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu, seramai 126 pemandu bas turut diperiksa di Terminal Bas Melaka Sentral, namun hasil saringan ujian air kencing mendapati tiada kes memandu di bawah pengaruh dadah dikesan.

“Operasi sama turut memeriksa sebanyak 319 bas ekspres di tiga depoh bas Melaka dalam usaha memastikan keselamatan pengangkutan awam ini untuk digunakan orang ramai sempena musim perayaan ini,” katanya.