Home Politik Dulu berudu suka tukar kolam, kini kura-kura yang langgar janji

Dulu berudu suka tukar kolam, kini kura-kura yang langgar janji

Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek terus menyindir golongan tertentu yang disifatkannya mudah tersungkur dalam sebarang hubungan kerjasama gara-gara melanggar syarat perjanjian.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ahmad Shabery berkata, kelemahan golongan berkenaan terhadap pujian telah menghukum mereka walaupun selama ini kebal dengan kejian ramai.

“Pernah dengar cerita itik dan kura-kura? Kisahnya kerana kolam kering dan semua binatang berpindah mencari tempat lain, tetapi kura-kura kesedihan kerana bebanan di belakangnya menyukarkan untuk pergi jauh.

“Ada sepasang itik yang baik hati memberi cadangan untuk menerbangkan kura-kura itu menggunakan sebatang kayu dengan syarat, sabar dan diam ketika terbang bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Jelas Ahmad Shabery, dalam perjalanan itu kura-kura teruja dapat melihat pemandangan yang luas dan indah, malah walaupun menerima usikan nakal daripada kanak-kanak yang melihatnya terbang tetapi, haiwan berkenaan tetap diam serta sabar.

Namun, katanya, keseronokan kura-kura tidak bertahan lama apabila haiwan itu leka dengan pujian gagak hingga melanggar syarat perjanjian dengan itik apabila dikesan bersuara sekali gus menyebabkannya jatuh terhempas.