Home Utama JKN Melaka cadang tutup sekolah jika kluster pendidikan terus melonjak

JKN Melaka cadang tutup sekolah jika kluster pendidikan terus melonjak

Dr Rusdi Abd Rahman.

MELAKA – Sesi persekolahan di negeri ini mungkin terpaksa ditangguhkan jika kluster pendidikan negeri yang kini merekodkan seramai 671 guru dan pelajar positif Covid-19 sehingga kini.

Ia melibatkan sembilan kluster termasuk dua kluster baharu hari ini.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pertambahan lagi dua lagi kluster baharu di Jasin pada hari ini mendorong Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) melihat ada keperluan untuk menutup sekolah jika situasi kes sukar dikawal.

JKNM, katanya, akan mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk memikirkan satu kaedah lain mengawal penularan kluster berkenaan selain penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Ya ada keperluan (menutup sekolah jika kes positif terus melonjak) dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) perlu ada pelan tindakan khusus untuk perkara ini.

“Bagaimanapun, keputusan menutup sekolah adalah di peringkat Kementerian Pendidikan dan kita hanya mencadangkan berdasarkan penelitian fakta yang diperolehi daripada semua pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, dua kluster pendidikan di Jasin yang direkodkan hari ini adalah Kluster Jalan Selandar dan Kluster Jalan Chinchin 2 melibatkan keseluruhan 64 positif Covid-19 termasuk seorang guru.

“Kluster Jalan Selandar melibatkan jangkitan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam (JAIM) As Syakirin dengan 28 kes positif, manakala enam lagi sampel kontak rapat masih menunggu keputusan.

“Sekolah telah ditutup selama 14 hari mulai 27 Januari selain pelajar asrama tidak dibenarkan balik manakala pelajar luar turut diarah kuarantin di rumah masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, Kluster Jalan Chinchin 2 pula melibatkan 35 pelajar kemasukan baru Institut Kemahiran MARA (IKM) dan seorang guru positif selain 11 lagi sampel masih menunggu keputusan.

“Kes hanya melibatkan dua blok bangunan sahaja namun pengurusan IKM secara sukarela telah menutup institusi berkenaan mulai 24 Januari lalu sehingga pembukaan dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua pelajar meneruskan aktiviti secara dalam talian kecuali pelajar tahun akhir yang perlu menggunakan bengkel dengan pemantauan yang ketat,” katanya.

Tambahnya, kesemua 63 pelajar dan seorang guru yang positif bagi kedua-dua kluster berkenaan telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh untuk rawatan lanjut.

Pada 25 Januari lalu, Dr Rusdi menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan angka positif Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah di Melaka yang semakin membimbangkan.

Situasi itu katanya, boleh mendorong kepada peningkatan kes bagi kluster pendidikan termasuk merebak ke sekolah harian dan berasrama sekiranya masyarakat tidak berwaspada dan melanggar SOP ditetapkan. – MalaysiaGazette