Home Seni Hidup Saya pernah tidak percaya lagi lelaki – Isteri Caprice

Saya pernah tidak percaya lagi lelaki – Isteri Caprice

Foto Instagram Farra Inalis.

KUALA LUMPUR – Isteri penyanyi rap dan selebriti terkenal, Caprice, Farra Inalis mengakui dia amat bersyukur kerana dikurniakan nikmat untuk berkeluarga semula setelah mengalami kegagalan dalam perkahwinan pertamanya sebelum ini.

Menurut Farra, kehadiran Caprice atau Ariz Ramli dalam hidupnya sejak tiga bulan juga seakan satu keajaiban terutama di kala dia tidak begitu percaya pada lelaki ketika itu.

“Tak pernah terfikir saya akan merasai detik dan perasaan sesempurna ini. Masya-Allah. Indahnya keluarga kecil saya ini.

“Jujur saya beritahu, saya hilang kepercayaan terhadap lelaki. Saya mudah timbul rasa benci. Nak kata trauma, tak juga. Mungkin sebab terlalu banyak benda pahit yang saya lalui dan pendam sendiri.

“Terlalu berdikari sampai saya fikir memang tak diperlukan lelaki dalam hidup. Ketika itulah, sebab tengah marah kan,”katanya.

Farra berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam media sosialnya semalam.

“Alhamdulillah, segala luka itu terubat dengan adanya insan yang bergelar suami harini, seorang penyayang, bertanggungjawab dan selalu bagi semangat bila saya rasa sedih.

“Bab adik memang tak boleh komen langsung. Dia jaga sepenuhnya macam anak sendiri. Terima kasih untuk segalanya cinta syurgaku,”katanya.

Sementara itu, Farra juga melihat bahawa dalam hidup ini setiap orang usah sentiasa menyalahkan atau mempersoalkan takdir kerana percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Semua berlaku ada sebab yang jauh lebih baik dari apa yang kita sangka. Apa-apa pun saya doakan siapa-siapa tengah lalui dugaan dalam hidup. Jangan pernah putus asa untuk doa dan bersangka baik selain terus menjadi seorang insan yang terbaik,” katanya.

Pada 15 November lalu, Caprice selamat mendirikan rumah tangga dengan Farra Inalis Hussni yang merupakan seorang ibu tunggal anak satu, Aleesya Sofea yang berusia lima tahun. – MalaysiaGazette