KUALA LUMPUR – Taman tema Asia Tenggara yang paling dinantikan iaitu Taman Tema Genting SkyWorlds bakal dibuka pada 8 Februari ini.
Tiket akan dijual melalui Laman Web Genting SkyWorlds – gentingskyworlds.com – dan Aplikasi Genting SkyWorlds bermula pukul 10 pagi pada 4 Februari ini.
Sempena pembukaan pra-pelancaran itu, Genting SkyWorlds akan menawarkan diskaun 20 peratus ke atas harga tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari sehingga 31 Mac depan.
Semasa tempoh pembukaan pra-pelancaran, akses Virtual Queue (VQ) dan Photo+ percuma akan disediakan, yang mana pengunjung boleh memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had.
Sementara harga tiket selepas diskaun pra-pembukaan sebanyak 20 peratus ialah RM151 bagi tiket standard dan RM128 bagi kanak-kanak ketinggian 90cm ke 110 cm dan warga emas/OKU.
“Pembukaan taman tema ini akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan,” kata Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit katanya dalam satu kenyataan.
Selepas membeli tiket secara dalam talian, pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
Aplikasi itu bukan saja akan memberi panduan yang komprehensif dengan maklumat masa nyata berkenaan Genting SkyWorlds, malah ia juga membolehkan pengunjung untuk mengemudi dan melawat taman secara maya agar mereka dapat merancang aktiviti yang mereka minati terlebih dulu, serta mencari arah dan jalan untuk ke destinasi mereka.
Antara ciri-ciri aplikasi itu ialah, masa menunggu akan dipaparkan di aplikasi itu dan pengunjung boleh merancang masa mereka untuk permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mendapatkan maklumat tempat-tempat makan, membeli-belah, permainan, serta perkhidmatan Photo+ yang canggih.
“Buat pertama kalinya di Asia Tenggara, aplikasi ini juga telah diintegrasikan dengan teknologi Virtual Queue (VQ), satu ciri pintar yang mampu mengurangkan masa menunggu yang lama dalam barisan fizikal dengan memberikan kebebasan kepada para pengunjung untuk melakukan aktiviti pilihan mereka dan pada masa yang mereka boleh memilih sendiri. Pemegang tiket berkumpulan juga boleh masuk secara berkumpulan sekiranya mereka menggunakan aplikasi Genting SkyWorlds VQ.
“Aplikasi ini turut membolehkan pemegang tiket melihat cadangan aktiviti berdasarkan pilihan peribadi mereka, dan menerima notifikasi secara masa nyata untuk tempahan tarikan, ketersediaan, dan hiburan menarik,” kata Ketua Operasi Taman Tema, Resorts World Genting, Greg Pearn.
Mengulas lanjut, Greg Pearn berkata, dalam tempoh pra-pelancaran itu, Genting SkyWorlds akan menawarkan diskaun 20 peratus ke atas harga tiket, sementara sesetengah tarikan masih di bawah proses pentauliahan dan tidak tersedia untuk menerima pengunjung.
Beliau berkata, usaha membuka taman tema di masa pandemik adalah sesuatu yang amat mencabar, dan walaupun segala usaha telah dilakukan untuk memastikan setiap tarikan dapat dibuka, masih terdapat sebahagian kecil tarikan yang memerlukan masa yang lebih lama untuk disiapkan.
“Walau bagaimanapun, pasukan kami sedang bekerja keras untuk memastikan tarikan-tarikan ini dapat dibuka di masa terdekat,” katanya.
Dengan keluasan 10.4 hektar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia. – MalaysiaGazette