KUANTAN – Polis Kuantan menerima 170 borang makluman balik kampung daripada komuniti di daerah ini yang dihantar ke balai polis berdekatan sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia membantu mengurangkan kadar kejadian pecah rumah di kawasan sekitar.
“Apabila pihak polis menerima pemakluman ia membolehkan tindakan pemantauan diadakan dengan lebih sistematik, sekali gus dapat menghindarkan kes pecah rumah.
“Amalan pemakluman borang balik kampung ini patut diteruskan sebagai bentuk kerjasama antara pihak masyarakat dan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Jambatan Putra, hari ini.
Tambah Wan Mohd Zahari, dalam operasi yang dijalankan oleh 18 pegawai dan 125 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu mensasarkan laluan kawasan panas termasuk di lokasi perumahan.
ARTIKEL BERKAITAN :
Hantar borang balik kampung – Polis Kuantan
PM tinjau Menara Kuantan 188, kenderaan RV
“Operasi dan sekatan dijalankan bagi memantau dan mencegah aktiviti jenayah melibatkan pembahagian empat zon turut memeriksa 656 orang dan telah melakukan tiga tangkapan.
“Manakala 712 kenderaan telah diperiksa di sekatan jalan raya dan sebanyak 23 saman trafik dikeluarkan kepada pesalah jalan raya.
Tambahnya, antara kesalahan yang dikenalpasti cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu serta pengubahsuaian kenderaan dan nombor flat.
Wan Mohd Zahari berkata, pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi membendung segala kegiatan jenayah dan aktiviti tidak sihat dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette