Home Nasional 50 tahun diisytihar bandar raya, Kuala Lumpur ke arah lebih mampan, lestari

50 tahun diisytihar bandar raya, Kuala Lumpur ke arah lebih mampan, lestari

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Genap 50 tahun diisytihar sebagai bandar raya pertama di Malaysia sejak 1 Feb 1972,  Kuala Lumpur kini sedang menuju ke arah menjadi lebih mampan, lestari, berdaya tahan dan sejahtera seperti diinspirasikan lebih 2 juta warganya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, bagi mencapai aspirasi itu selain visi ‘Kuala Lumpur Bandar Untuk Semua’ yang ditetapkan menjelang 2040, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pentadbir akan memberi tumpuan kepada pengurusan lalu lintas, pencegahan banjir serta pengukuhan sistem urus tadbir.

“Saya mengharapkan dan yakin kalau hala tuju terus menumpukan tiga aspek dan agenda utama ini bagi 50 tahun akan datang, bandar raya ini akan terus berkembang pesat.

“Harapan dan jangkaan orang ramai semakin lama semakin tinggi, justeru DBKL harus berkerja lebih keras meningkatkan kecekapan bagi mewujudkan persekitaran bandar dinamik, bukan sahaja dari segi daya tarikan dan liveability (sesuai untuk didiami) malah lebih penting lagi dari segi penggerak ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, antara aspek yang sedang diperinci untuk penambahbaikan adalah kesalinghubungan  ‘first mile’ dan ‘last mile’ termasuk laluan pejalan kaki bagi mencapai sasaran 70 peratus penggunaan sistem pengangkutan awam menjelang 2040.

Katanya, sistem pengurusan trafik di Bilik Operasi Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) juga dipertingkatkan dengan aplikasi teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) yang menyediakan penyelesaian efektif secara automatik bagi membolehkan pihak berkuasa menyalurkan maklumat kepada orang awam secara langsung.

Datuk Mahadi Che Ngah. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2020

“Ia memberi amaran serta penyelesaian bagi situasi yang dijangka terjadi bagi membolehkan DBKL bersedia selangkah awal sebelum senario berlaku untuk mencegah kesesakan selain memantau perubahan tahap air sungai bagi membuat persediaan sekiranya berlaku banjir.

“Sebagai contoh, situasi banjir di Kuala Lumpur baru-baru ini lebih terkawal berbanding sebelum ini hasil usaha pencegahan dan aplikasi sistem pemantauan yang diguna pakai bagi membolehkan tindakan pantas dalam mencegah banjir kilat,” katanya yang turut menyeru pihak pemaju atau persendirian memastikan kawasan tanah terbuka dilitupi selimut cerun bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.

Mahadi berkata, aspek keperluan ekonomi bandar turut ditekankan dalam meningkatkan keupayaan mewujudkan peluang pekerjaan bagi pembentukan bandar raya mampan sekali gus berkembang secara holistik untuk jangka masa panjang.

“Peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi pembangunan. Usaha juga dilihat dari segi membentuk bandar sebagai bandar raya mesra pelabur bagi menggalakkan lagi peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.

“Individu yang berpeluang meraih rezeki di ibu kota kemudiannya mampu menyumbang kembali kepada bandar raya dan ekosistem ekonomi bandar melalui pembelian barangan keperluan, baik untuk perniagaan atau persendirian,” katanya.

Mahadi berkata, seiring dengan kepentingan tadbir urus yang dinamik dan mampan, DBKL juga menekankan perancangan bandar terbaik seperti bandar rendah karbon, berdaya tahan, bebas kesesakan, mesra pejalan kaki serta mempunyai kemudahan mencukupi.

Selain itu katanya pengindahan landskap juga akan dilipatgandakan dalam menghijaukan bandar raya dan meningkatkan aspek penjagaan alam sekitar.

“Selepas hampir 40  tahun pelaksanaan visi penghijauan dengan sasaran untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya taman, sudah tentu kita mahu perhebatkan lagi dengan sasaran mewujudkan bandar raya dalam taman pula,” jelasnya.

Menurutnya, penggunaan sumber tanah dengan lebih kreatif dan inovatif juga diambil kira bagi memastikan pembangunan yang berkualiti, mampan dan mampu menampung pertumbuhan menjelang 2040.

Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022) jatuh pada 1 Februari, serentak sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022, bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada 1972. – Bernama