Home Nasional Beri pelbagai alasan rupanya mabuk

Beri pelbagai alasan rupanya mabuk

Anggota polis melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan terhadap seorang pemandu dengan menggunakan alat penguji nafas menerusi Op Mabuk yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sempena Op Selamat ke-17 Tahun Baharu Cina di Jalan Utara, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

PETALING JAYA – Membuat provokasi dan beri pelbagai alasan semata-mata mahu melepaskan diri daripada ditahan dalam Op Mabuk di Jalan Utara, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, wanita tempatan yang dianggar berusia lingkungan 30-an itu akhirnya ditahan kira-kira pukul 1.13 pagi selepas gagal ujian saringan awal pernafasan dengan bacaan menunjukkan 156 miligram (mg) kandungan alkohol.

Terdahulu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengambil masa lebih 30 minit bagi meminta wanita yang memandu kereta jenis BMW itu menggunakan alat penguji nafas.

Wanita terbabit memaklumkan dia baru sahaja menjemput teman lelakinya yang dipercayai mabuk dari sebuah lokasi dan terus memandu untuk pulang.

Namun ketika diminta melakukan ujian pernafasan, wanita itu enggan memberikan kerjasama malah bertindak memarahi beberapa petugas media yang cuba merakam aksinya.

Antara alasan diberikan bagi mengelak ujian pernafasan terhadapnya, wanita terbabit mendakwa dia mempunyai nafas yang pendek dan sanggup untuk pergi ke hospital bagi pemeriksaan kadar alkohol dalam darah.

Selepas pemeriksaan dilakukan, wanita yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Petaling Jaya bagi pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, seramai 107 individu ditahan sepanjang tahun lalu kerana didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Statistik bagi tahun 2021, sebanyak 107 tangkapan dibuat manakala bagi Januari tahun ini sahaja, seramai 36 tangkapan dibuat berkait pemandu mabuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan sekatan jalan raya Op Mabuk sempena Op Selamat ke-17 Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, seramai 233 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 11 malam itu.

Katanya, selain sekatan jalan raya (SJR) bagi mengesan pemandu mabuk, pemeriksaan turut dijalankan terhadap pusat hiburan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara 4 serta kawasan hot spot narkotik.

Anggota polis membuat sekatan jalan raya yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sempena Op Selamat ke-17 Tahun Baharu Cina di Jalan Utara, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

“SJR kita fokuskan kepada pemandu mabuk dan orang-orang yang dikehendaki, kita akan jalankan pemeriksaan.

“Selain itu, kita turut melakukan rondaan di kawasan taman, sektor perkilangan serta industri,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai pemantauan SOP perayaan Tahun Baharu Cina, beliau berkata, sebanyak empat kumpulan digerakkan dengan kolaborasi bersama pasukan drone Pasukan Gerakan Udara serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – MalaysiaGazette