Home Nasional Empat hari Op Selamat rekod 1,420 kemalangan, lapan maut

Empat hari Op Selamat rekod 1,420 kemalangan, lapan maut

Op Selamat
Saman yang dikeluarkan oleh anggota polis semasa Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina 2022 di Tapak Tol Roboh Sg. Rasau, Lebuhraya Persekutuan. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Hari keempat Operasi Selamat 17 di Selangor sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022 merekodkan 1,420 kes kemalangan jalan raya dan lapan maut membabitkan penunggang motosikal.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Op Selamat 17 selama  10 hari itu dikuatkuasakan sejak 28 Januari lalu dan akan berakhir pada 6 Februari ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 219 kes kemalangan direkodkan di lebuh raya, 96 kes di lebuh raya persekutuan, jalan negeri (182), jalan bandaran (825) dan lain-lain jalan (98).

Menurut Arjunaidi, statistik terkini menunjukkan kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan kali ini menurun sebanyak 634 kes berbanding dua tahun lepas di mana semasa  Op Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020 sebanyak 2,054 kemalangan jalan raya direkodkan bagi tempoh yang sama.

Katanya, bagi kes kemalangan maut pula, sebanyak lapan kes telah direkodkan dalam Op Selamat tahun ini yang kesemuanya membabitkan penunggang motosikal juga menurun berbanding 14 kes yang dilaporkan dalam Op Selamat 16 tahun 2020.

“Dalam 14 kes kematian yang direkodkan pada 2020 itu, 11 daripadanya penunggang motosikal manakala selebihnya pejalan kaki,” ujarnya.

Mengenai jumlah saman kesalahan lalu lintas sepanjang Op Selamat kali ini, Arjunaidi berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 11,464 saman membabitkan kesalahan had laju, pandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong garisan, tidak patuh lampu isyarat dan akhirnya menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

Katanya, kesalahan melebihi had laju merekodkan jumlah saman tertinggi iaitu 10,879 saman disusuli 318 saman atas kesalahan tidak patuh lampu isyarat dan 236 saman kerana menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

“Pandu di lorong kecemasan hanya menerima satu saman diikuti 27 saman untuk kesalahan memotong barisan dan tiga saman untuk memotong garisan berkembar.

“Justeru setakat ini sebanyak 2,479 rondaan telah dibuat polis kontinjen Selangor di kawasan perumahan yang ditinggalkan sempena perayaan kali ini.

“Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti telah menggerakkan elemen-elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi tujuan rondaan di kawasan perumahan awam secara lebih kerap bagi mencegah jenayah dan memelihara ketenteraman awam.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, sebanyak 41 permohonan balik kampung yang diisi melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) diterima dan sebanyak 228 borang permohonan balik kampung telah diisi di balai-balai polis di negeri ini.

“Bagaimanapun, setakat hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian pecah rumah yang ditinggalkan penghuni semasa balik kampung sempena perayaan kali ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan serta memanfaatkan VSP atau mengisi borang balik kampung di balai polis berdekatan bagi membolehkan polis mengenalpasti rumah-rumah yang ditinggalkan kosong semasa musim perayaan terus dipantau dengan rondaan mengelak jenayah,” tegas Arjunaidi. – MalaysiaGazette