KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengharapkan sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan hari ini semasa penularan Covid-19 menjadi lambang perpaduan pelbagai kaum selaras dengan pelaksanaan dasar Keluarga Malaysia.
Jelas beliau, kemeriahan yang disambut oleh masyarakat Tionghua itu turut dirasai oleh kaum-kaum lain di negara ini yang dapat hidup secara harmoni dan sejahtera.
“Memang setiap tahun sambutan Tahun Baru Cina ini bukan sahaja disambut oleh kaum Cina tapi seluruh kaum di Malaysia.
“Ini melambangkan perpaduan sesama kaum selaras dengan semangat Keluarga Malaysia seperti yang saya perkenalkan.
“Saya harap tahun ini akan membawa kemakmuran kepada semua dan hubungan antara kaum di negara ini dapat kita rapatkan lagi demi kepentingan negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, hari ini.
Beliau hari ini hadir meluangkan masa menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA.
Ismail yang tiba di Wisma MCA pada jam 9.30 pagi ditemani isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Majlis dianjurkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan dihadiri lebih 300 orang.
Majlis penuh Prosedur Operasi Standard (SOP) itu dimulakan dengan acara menggaul ‘Yee Sang’ serentak sebagai simbolik sambutan perayaan tersebut.
Turut hadir menteri-menteri Kabinet antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz; Menteri Sumher Manusia, Datuk Seri M Sarawanan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Selain Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Juga kelihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, ia menganjurkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina secara bersederhana dan mematuhi SOP. – MalaysiaGazette