Home Nasional CAP sokong tindakan kerajaan stabilkan harga barang

CAP sokong tindakan kerajaan stabilkan harga barang

Mohideen Abdul Kader, the President of Consumers’ Association of Penang (CAP)
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk bertindak menstabilkan harga barangan seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 31 Januari lalu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam pada harga RM8.90 di Semenanjung walaupun Kerajaan terpaksa menyediakan subsidi bagi menampung harga tersebut untuk pengguna.

“Kami berpandangan positif terhadap keputusan kerajaan mengekalkan harga telur gred A, B dan C pada harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terkini.

“Selain itu, CAP juga berpendapat kerajaan perlu memantau dan menerima aduan dari pengguna sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga.

“Manakala pengguna juga perlu menggunakan saluran yang betul untuk mendedahkan aduan peniaga yang cuba meraih keuntungan berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Mohideen, pihaknya juga menyokong ketegasan dan campur tangan kerajaan walaupun pihak penternak meminta harga ayam di ladang dinaikkan yang pastinya mempengaruhi harga pasaran sehingga mencecah melebihi RM10 sekilogram.    

Jelas beliau, kerajaan perlu melihat secara serius keperluan mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negeri untuk mengekang isu input makanan haiwan dari luar negara yang mahal.

“CAP berpendapat dengan membenarkan pihak Hypermarket mengimport ayam bulat dari negara luar dengan syarat pematuhan terutama dari segi halal dan kesegaran serta kebersihan adalah langkah jangka pendek. Namun pendekatan yang terbaik adalah untuk memperkukuhkan pengeluaran dalam negara secara lestari.           

“Kami bersetuju dengan tindakan kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC), sebuah agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melaksanakan kajian dan siasatan berterusan agar tidak wujud kartel harga serta manipulasi orang tengah dalam industri pengeluaran dan bekalan ayam.

“Selain itu, pihak berkuasa yang berkenaan perlu menyegerakan penyelidikan berkenaan alternatif makanan ayam supaya negara tidak diancam dengan harga jagung, soya dan ubat-ubatan yang sekarang ini 100% diimport dari negara luar. Malah, pergantungan kepada import makanan dari luar negara harus diatasi dengan segera,” tegas Mohideen. – MalaysiaGazette